PdPR: Ibu bapa, guru perlu sokong antara satu sama lain

Kenyataan Maszlee pada Isnin.
Kenyataan Maszlee pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak khususnya ibu bapa dan guru harus berlapang dada dengan menjadi sistem sokongan buat satu sama lain dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dalam situasi genting kini, hampir 4.7 juta anak murid tidak dapat bersekolah dan lebih dari 413,000 guru juga perlu mengajar dari rumah.

Menurutnya, beliau percaya semua guru berada dalam dilema pada ketika ini kerana tidak semua anak murid mempunyai ekosistem pembelajaran dalam talian yang kondusif.

Malah, katanya, guru-guru juga berada dalam keadaan keletihan kerana terpaksa bertahan mengajar dari rumah sejak tahun lalu.

"Saya percaya para ibu bapa hari ini juga amat prihatin tentang kemajuan pembelajaran anak-anak, tambah lagi anak-anak kita hanya bersekolah kurang daripada enam bulan pada tahun lalu, sekali gus memberi kesan kepada tahap motivasi dan fokus mereka untuk meneruskan baki pembelajaran yang sepatutnya mereka selesaikan.

"Oleh itu, saya ingin menyarankan beberapa cadangan iaitu guru dan ibu bapa harus saling melengkapi untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran yang berkesan bagi anak-anak di rumah pada tempoh kritikal ini.

"Ibu bapa dan guru harus berkomunikasi secara telus dan bekerjasama serta elakkan tuding menuding di antara mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, guru-guru juga harus bersedia untuk meneruskan normal baharu ini dengan menyediakan bahan PdPR yang berkesan dan boleh diukur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ibu bapa juga harus menjadi mata dan tangan guru untuk sementara waktu sehingga sekolah dibuka semula nanti.

"Hanya dengan cara ini kita semua boleh bekerjasama untuk mengelakkan 'lost generation' dalam kalangan anak-anak kita dengan menyediakan mereka untuk bersedia meneruskan pembelajaran.

"Pada masa sama, guru dan ibu bapa boleh memanfaatkan portal pembelajaran percuma Sophia.my untuk meneruskan PdPR di rumah ketika PKP. Terdapat lebih dari 13,000 kandungan pembelajaran untuk digunakan secara percuma oleh semua," katanya.

Maszlee berkata, beliau memahami keresahan dan cabaran yang dihadapi semua ibu bapa dan juga para guru di luar sana, tetapi perlu diingat tiada jalan mudah buat semua ketika ini.