Lelaki ditahan kerana ugut, pukul anak rakan

Seorang lelaki ditahan selepas membuat ugutan jenayah dan mencederakan anak rakannya. Gambar hiasan
Seorang lelaki ditahan selepas membuat ugutan jenayah dan mencederakan anak rakannya. Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas membuat ugutan jenayah dan mencederakan anak rakannya di sebuah rumah di Alor Merah, Sungai Dua, Butterworth pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 5.37 pagi di sebuah pondok berdekatan rumahnya selepas dua hari polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 20 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek dari Pokok Sena, Kepala Batas itu mengakui telah memukul dan mengugut mangsa selain memiliki senjata berjadual dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika ditahan.

Beliau berkata, suspek mempunyai tiga rekod dadah dan satu rekod jenayah lampau.

"Ketika kita tiba di pondok itu, suspek telah mengamuk dan mengacukan pisau kepada anggota polis. Bagaimanapun, dia berjaya ditahan dan polis merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran 25 sentimeter panjang daripada suspek. Ujian saringan air kencing suspek mendapati negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata berjadual," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 4 petang, 15 Januari lalu, Noorzainy berkata, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak membenarkannya datang rumah mangsa berikutan suspek tidak mempunyai pertalian darah dengan keluarganya.

Menurutnya, suspek yang merupakan rakan kepada ibu mangsa itu juga berang apabila mangsa enggan bekerja dengannya dalam memproses air ketum.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang berang telah menarik mangsa dari dalam rumahnya lalu menghentak kepalanya ke dinding selain menendang perut dan paha mangsa. Ibu dan adik mangsa yang melihat kejadian itu datang untuk membantu, namun mereka turut dipukul.

"Kejadian itu kemudiannya dileraikan oleh jiran mangsa dan suspek beredar dari rumah mangsa. Keesokan harinya, suspek telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adik mangsa untuk memukul mereka selain akan menyebarkan gambar mereka sekeluarga dengan tujuan untuk mengaibkan," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa tinggal di rumah tersebut bersama ibu dan dua adiknya berusia 17 dan 12 tahun.

"Suspek dan ibu mangsa adalah kenalan yang mana kedua-duanya adalah penagih dadah. Siasatan juga mendapati, rumah mangsa dijadikan 'port' menghisap dadah dan mangsa serta adiknya jarang tinggal di rumah tersebut.

"Mangsa dirawat di Hospital Kepala Batas dan pegawai perubatan mengesahkan dia mengalami lebam pada paha dan lutut kiri, manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.