Henti projek tak penting, utamakan kebajikan 'frontliners' kita!

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengutamakan kebajikan barisan hadapan dan kemudahan di hospital serta pusat kuarantin yang kini berada pada tahap kritikal.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, beliau memandang serius laporan daripada pihak barisan hadapan Hospital Sungai Buloh yang membangkitkan isu kekurangan kemudahan asas dan kepenatan melampaui 'breaking point' atau takat gagal.

Menurutnya, keadaan ini amat merisaukan tatkala kes harian mencecah angka tertinggi pada Sabtu dengan mencatatkan 4,029 kes dan peningkatan kes kematian secara mendadak walaupun negara baharu memasuki hari ke-18 pada tahun ini.

“Hentikan dahulu sebarang projek yang tidak penting, dengan keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat Covid-19 pada ketika ini, salurkan sumber kewangan tersebut untuk melawan Covid-19

“Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Shahir Adnan
Shahir Adnan

Sementara itu, Shahir memuji ketelusan Dr Mustafa Kamal yang memberanikan diri dengan menyatakan kebenaran menerusi artikel berjudul ‘'Burnt out' doctor speaks up, urges others to do the same for better treatment ' yang diterbitkan dalam sebuah portal berita dalam talian pada Ahad.

Menurutnya, beliau berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengambil tindakan terhadap Dr Mustafa kerana beliau telah menggunakan segala saluran yang ada sebelum membuat komentar secara terbuka demi kebaikan semua.

Artikel Berkaitan:

“Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Mustafa dan petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh yang telah menyelamatkan nyawa bonda saya ketika bertarung melawan Covid-19 tahap 4 pada awal Januari 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir juga menggesa semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing agar negara dapat keluar daripada pandemik ini secepat mungkin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ia hanya akan meranapkan ekonomi negara.

“PKP yang dilaksanakan selama hampir seminggu masih tidak menunjukkan kesan penurunan kes, jadi ia perlu diperketatkan agar kita dapat melihat penurunan kes hasil PKP yang efektif,” katanya.