Felda perlu nilai impak jadikan FGV syarikat persendirian

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Felda perlu memikirkan kesan atau implikasi susulan langkah diambil untuk menjadikan FGV Holdings Bhd (FGV) sebagai syarikat persendirian atau 'take FGV private'.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, kesan dimaksudkan adalah kepada peneroka dan pemegang saham minoriti.

Beliau berkata, dari segi ‘corporate exercise’, Felda boleh menganggap ini perkara biasa dalam pasaran saham dan pembeli saham juga harus menerima risiko terhadap pelaburan mereka di dalam mana-mana syarikat terbitan awam.

Namun menurutnya, Felda juga perlu berhati-hati bahawa pemegang saham mereka terdiri daripada institusi bumiputera, peneroka dan kakitangan daripada institusi mereka sendiri.

"Harga tawaran sebanyak RM1,300 satu lot (RM1.30 satu unit saham) itu dicapai berdasarkan prestasi kewangan FGV pada masa lalu, tetapi kita mesti juga berlaku adil kepada FGV dan pengurusannya di mana mereka telah mengambil banyak langkah untuk memperbaiki kedudukan kewangan FGV.

"Felda sepatutnya menggunakan ‘future earning’ bagi mengira harga tawaran dengan andaian FGV akan mencapai keuntungan RM500-RM600 juta tahun 2020 serta nilai PE 20, nilai tawaran sepatutnya sekitar RM1,700-RM1,800 satu lot (RM1.70 hingga RM1.80 satu unit saham)," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Zakaria berkata, harga tawaran RM1,300 itu bermakna Felda cuma memberi premium sebanyak tiga peratus sahaja kepada pemegang saham.

Tambahnya, beliau berharap Felda masih ingat mereka pernah membeli saham Eagle High, Encorp, Barakah, Iris dan sebagainya dengan premium yang amat tinggi, yang juga menggunakan kaedah ‘future earning’ sebagai asas pembelian.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang lebih penting sebenarnya pengurusan Felda perlu turun padang untuk memberikan penjelasan kepada peneroka-peneroka supaya mereka boleh faham kedudukan sebenar.

Katanya, dahulu sewaktu Felda mahu menyenaraikan FGV, Felda membuat 'road show' dan sebagainya tetapi kini apabila FGV mahu dinyah senaraikan, ada baiknya Felda membuat perkara yang sama supaya tidak timbul kekeliruan dan salah faham di kemudian hari

"Felda juga jangan lupakan pemegang saham minoriti yang lain seperti kakitangan, bekas kakitangan, pesara, pemimpin-pemimpin masyarakat dan sebagainya yang terus mempertahan kesetiaan mereka dengan memegang saham FGV.

"Seperti juga peneroka Felda, mereka juga membeli saham FGV dengan peluh dan keringat. Malah ramai antara mereka cuma mempunyai saham FGV sahaja," katanya.