X

Kindly register in order to view this article
!

Guru besar mengaku tidak bersalah terima rasuah

Noorlida (tengah) dibawa keluar oleh pegawai SPRM setelah selesai sesi pendakwaan di Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Isnin.
A
A

ALOR SETAR - Seorang guru besar sebuah sekolah di daerah Pendang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,873 pada tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Noorlida Selamat, 56, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menjawat jawatan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani ketika itu didakwa menerima sejumlah wang tunai daripada seorang lelaki antara 7 Ogos 2014 dan 11 Mei 2015.

Dia dituduh menerima wang tersebut menerusi akaun bank miliknya di sebuah bank di Jalan Lagenda Height dalam daerah Kuala Muda dan cek di pejabat SK Sungai Pasir Kechil.

Noorlida didakwa memperoleh wang itu daripada individu terbabit dengan tiada balasan yang mana dia mengetahui lelaki berkenaan mempunyai perhubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Pertuduhan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Murtazadi dalam penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan Noorlida menyerahkan dokumen perjalanan serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!