Empat warga Myanmar ditahan cuba rentas negeri

Kelihatan anggota polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di Pasar Awam Nilai.
Kelihatan anggota polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di Pasar Awam Nilai.
A
A
A

NILAI - Empat lelaki warga Myanmar ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di susur masuk Tol Nilai dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kesemua yang ditahan gagal menunjukkan dokumen penting yang sah dan tiada surat kebenaran pergerakan rentas negeri dari Kajang, Selangor menghala ke Nilai 3.

"Pada jam lebih kurang 4.45 petang, pasukan bertugas menahan sebuah Grab Car jenis Perodua Bezza yang membawa dua penumpang warga asing dan sebuah kereta jenis Honda Hybrid dinaiki dua lagi warga asing.

"Hasil pemeriksaan mendapati penumpang tersebut tidak membawa dokumen yang sah dan tiada kebenaran pergerakan rentas negeri dari Kajang menghala ke Nilai 3, tanpa memberikan alasan yang munasabah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Nilai untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 15(1) PPDPPB (no 1) 2021 (Tiada Kebenaran Pergerakan) dan dapati tiada dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, bagi memastikan setiap premis awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai (IPD Nilai) akan mengadakan Ops Pematuhan SOP Covid-19 di sekitar daerah ini secara berterusan.

Katanya, operasi kali ini lebih berfokus kepada tempat tumpuan awam seperti di Pasar Awam, Nilai 3, Pasar Borong Nilai 3, pangsapuri Taman Semarak dan sekitar Desaria Nilai 2.

Artikel Berkaitan: