Sukar untuk Umno bangkit: Pakar

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Dr Mohd Yusri Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Kemampuan Umno untuk bangkit dalam tempoh terdekat dilihat sukar kerana masih terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuhi parti itu khususnya dalam mendapatkan kembali sokongan rakyat secara menyeluruh.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, meskipun situasi sekarang menunjukkan sokongan Melayu terhadap kerajaan PH agak rendah dan kurang popular tetapi ia bukan petunjuk sokongan kepada Umno meningkat.

“Hasil tinjauan dan kaji selidik yang dilakukan beberapa agensi perundingan juga mendapati bahawa orang Melayu di bandar, golongan pertengahan dan ke atas serta anak-anak muda masih lagi menjauhi Umno.

“Ditambah pula dengan cabaran kewangan dan hilang kuasa selepas lebih 60 tahun mentadbir negara juga masih lagi menjadi kejutan kepada pemimpin dan juga ahli-ahli di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN:Ahli Umno, mohon jangan bodoh sombong lagi

Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, perbicaraan pemimpin dan bekas pemimpin Umno yang dituduh rasuah, penyelewengan, pengubahan wang haram dan pelbagai lagi juga turut menyumbang kepada ketidaktentuan sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Untuk jalan selamat, Umno perlu ‘melepaskan diri’ daripada kes-kes tersebut (penyelewangan, rasuah dan sebagainya).

“Jika Umno mengambil pendirian untuk mempertahankan pemimpin dan bekas pemimpin yang hadapi perbicaraan itu, imej Umno akan terpalit sama, sekali lagi keyakinan rakyat akan menghilang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands akhir Januari lalu, Mohd Yusri menjelaskan ia tidak boleh dijadikan petunjuk kepada pemulihan parti itu.

“Kemenangan dengan majoriti besar yang diperolehi oleh calon BN itu disebabkan beberapa faktor antaranya, undi penyokong Pas hasil kompromi dengan parti tersebut dan kadar keluar mengundi pengundi berbangsa Cina di Dun Tanah Rata yang merupakan pengundi tetap PH rendah.

“Jadi, saya jangkakan Umno tidak boleh bangkit dalam masa terdekat. Banyak cabaran yang terpaksa tempuhi untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat dan kembali berkuasa,” katanya.