Campak syabu RM2.4 juta dalam beg pakaian tepi jalan

Abdul Majid (dua dari kanan) menunjukkan beg hitam yang diisi bungkusan dadah jenis syabu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.
Abdul Majid (dua dari kanan) menunjukkan beg hitam yang diisi bungkusan dadah jenis syabu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Polis menemui sebanyak 15.87 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2.4 juta dalam beg pakaian yang dipercayai dicampak seorang lelaki di persimpangan Jalan Lereh di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pada masa sama seorang penganggur berusia 39 tahun ditahan pada jam 7.05 petang serta sepupunya turut ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Menurutnya, anggota polis yang membuat rondaan pencegahan jenayah terserempak dengan seorang lelaki yang dilihat mencurigakan sebelum suspek bertindak membuang beg dipegangnya di kawasan berhampiran.

"Ketika anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek bertindak mencampakkan beg yang mengandungi kira-kira 15 paket plastik berisi dadah mampat.

"Kita percaya dadah jenis syabu ini digunakan oleh penagih tempatan dan jumlah yang dirampas boleh digunakan oleh 20,000 hingga 50,000 penagih secara berperingkat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini pada Isnin.

Tambahnya, susulan itu seorang lelaki yang juga berusia 39 tahun dan merupakan sepupu kepada suspek ditahan di Bukit Puchong, Subang Selangor lebih kurang jam 4 pagi dipercayai terlibat sebagai orang tengah dalam kes pengedaran dadah tersebut.

Menurut Abdul Majid, pihaknya telah menyita keseluruhan berjumlah RM95,200 termasuk wang tunai berjumlah RM25,200 yang dipercayai hasil jualan dadah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang disyaki digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

"Kita percaya ia adalah bekalan terbesar untuk pasaran tempatan pada tahun ini yang dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan tikus dan kedua-dua suspek disyaki transporter bagi sindiket bekalan dadah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.