Polis Pahang buat kawalan lebih ketat di pintu masuk sempadan

Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang membuat kawalan lebih ketat di pintu masuk sempadan bagi memantau pergerakan orang ramai yang merentas negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula 13 Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menempatkan 338 petugas di 17 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri.

Menurutnya, tumpuan diberikan di pintu masuk di daerah yang bersempadan dengan negeri-negeri zon merah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekatan jalan raya ini melibatkan enam daerah iaitu Kuantan, Rompin, Bera, Lipis, Bentong dan Cameron Highlands.

"Sebarang pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali setelah Pahang dikenakan PKPB kecuali bagi mereka yang mendapat kebenaran polis untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, sehingga Ahad, pihaknya berpuas hati dengan tahap kesedaran orang ramai terhadap larangan rentas negeri ini.

"Hasil pemeriksaan semua SJR di sempadan negeri mendapati, orang ramai yang keluar masuk sempadan negeri ini mematuhi arahan dan mempunyai surat kebenaran daripada pihak polis untuk berbuat demikian dan tiada kenderaan diarah berpatah balik.

"Bagi kemasukan sukarelawan dan NGO (badan bukan kerajaan) dari luar, untuk misi bantuan banjir di negeri ini tidak timbul sebarang masalah memandangkan mereka yang masuk untuk menghantar bantuan mempunyai surat kebenaran termasuk dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun pergerakan mereka akan diiringi pihak polis hingga ke lokasi tujuan bagi mengelak ada pihak melencong ke tempat lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Abd Jalil berkata, dalam tempoh 24 jam pada Ahad, seramai 47 individu dikompaun kerana ingkar arahan PKPB di negeri ini dan 17 premis dikenakan tindakan sama oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebanyak 1,579 permohonan permit pergerakan diterima setakat ini dan 1,529 diluluskan, manakala 70 ditolak.

"Jumlah tangkapan keseluruhan atas kesalahan ingkar PKP bagi tempoh 18 Mac tahun lalu hingga semalam (Ahad) seramai 1,371 orang, manakala 593 individu telah dituduh di mahkamah dalam tempoh tersebut," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyekat peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini dan mengelak dikenakan PKP seperti mana yang berlaku di Kelantan.

"Sekiranya PKP dilaksanakan, ia akan lebih menyukarkan aktiviti seharian kerana pergerakan orang ramai akan dihadkan," katanya.