Tiga lelaki didakwa membunuh

Lingeshwarran (kiri), Avinesh Sarma (dua kiri), Siva Raman (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh kerana membunuh pada Isnin.
Lingeshwarran (kiri), Avinesh Sarma (dua kiri), Siva Raman (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh kerana membunuh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin kerana didakwa membunuh seorang lelaki, hujung bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, N Avinesh Sarma, 22, S Lingeshwarran, 24, P Siva Raman, 33, dituduh membunuh K Arun, 34 pada 31 Disember 2020 antara jam 7.40 hingga 8.45 malam berhampiran Kuil Sri Maha Muthu Mariamman, Ladang Tanjung Rambutan, di sini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Mac depan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam iaitu Syahrul Nizam Mohd Rabi dan C Kalidewi.

Pada 1 Januari lalu, seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan pada badan dan tangan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa seorang lelaki berusia 34 tahun itu ditemui orang awam yang ingin memikat burung di kawasan tersebut kira-kira jam 11.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil semakan pihak polis mendapati mangsa mempunyai 12 rekod lampau termasuk dua kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes bunuh dan beberapa kes jenayah lain.