X

Kindly register in order to view this article
!

Tak mengaku pukul kucing sampai mati

Tertuduh (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth ditemani anak lelakinya pada Isnin.
A
A

BUTTERWORTH- Seorang broker mengaku tidak bersalah memukul seekor kucing betina dan seekor anak kucing sehingga mati di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pada Isnin.

Tertuduh, Hah Choy Kheng membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 1.20 petang, 29 Disember tahun lalu di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya, Perai, Seberang Perai Tengah (SPT).

Tertuduh yang berusia 51 tahun itu didakwa dengan kejamnya memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing betina baka tempatan berwarna putih kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter (cm) sehingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, peguam tertuduh, Shamsher Singh Thind bersetuju dengan tawaran jaminan itu kerana jumlah wang jaminan dilihat munasabah.

Tertuduh bagaimanapun membayar wang jaminan tersebut dan mahkamah menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, anak kucing tersebut mati selepas seminggu menerima rawatan akibat dipukul.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita yang disyaki memukul seekor kucing bunting sehingga mati ditahan reman empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat oleh JPV.

Difahamkan, dia melakukan perbuatan kejam itu kerana haiwan berkenaan membuang najis di hadapan rumahnya di sebuah flat di Pintas Kalui 1, Seberang Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN Pukul kucing bunting hingga mati kerana berak depan rumah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!