Alternatif untuk pertimbangan PM

Selagi Perdana Menteri tidak memohon pembubaran Parlimen paling awal ataupun selagi permintaannya ditolak oleh Seri Paduka Baginda, maka tiada pilihan raya sebelum Parlimen tamat tempohnya pada 15 Julai 2023.
Selagi Perdana Menteri tidak memohon pembubaran Parlimen paling awal ataupun selagi permintaannya ditolak oleh Seri Paduka Baginda, maka tiada pilihan raya sebelum Parlimen tamat tempohnya pada 15 Julai 2023.
A
A
A

SAMPAI hari ini, darurat nampaknya bukan untuk melawan wabak tetapi untuk mengekang ketidakstabilan politik. Untuk melawan wabak, kita sudah ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apa yang tidak boleh dicapai oleh PKP sampai memerlukan darurat? Gantung Parlimen dan tunda pilihan raya.

Empat persoalan yang mesti kita kupas dengan kritis daripada membuat andaian semata-mata.

Pertama, benarkah kita tiada cara lain untuk mengelakkan pilihan raya?

Hakikatnya, tiada pilihan raya awal boleh dijalankan tanpa permintaan oleh Perdana Menteri dan restu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bawah Perkara-perkara 40(2), 43(4) dan 55(2)-(3) Perlembagaan Persekutuan.

Selagi Perdana Menteri tidak memohon pembubaran Parlimen paling awal ataupun selagi permintaannya ditolak oleh Seri Paduka Baginda, maka tiada pilihan raya sebelum Parlimen tamat tempohnya pada 15 Julai 2023.

Kedua, bolehkah penggantungan Parlimen menjamin kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal?

Kerajaan beliau telah menjadi minoriti dengan penarikan sokongan oleh Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz tetapi masih boleh kekal kerana tiada majoriti alternatif.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya kesemua 111 ahli Parlimen yang menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin - PH (91), Warisan (8), Pejuang (4), PSB (2), Muda (1), UPKO (1), Bebas (1) dan UMNO (2) dapat mencapai kata sepakat untuk calon PM baru, maka kerajaan Tan Sri Muhyiddin akan jatuh sekalipun di bawah darurat.

Ingat apabila Tan Sri Musa Aman berjaya membariskan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada jumlah 65, maka kerajaan Sabah di bawah Warisan jatuh dan Datuk Seri Shafie Apdal terpaksa memohon pembubaran awal.

Kalau ‘majoriti kuat, kukuh dan meyakinkan᾿ yang diulangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat ditunjukkan dalam satu pembarisan seperti apa yang dilakukan Tan Sri Musa Aman, maka peruntukan Perkara 43(4) mesti berkuat kuasa tanpa kekaburan:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.” Darurat tidak membawa perbezaan.

Ketiga, berapa lamakah darurat dapat berlangsung untuk menunda pilihan raya? Untuk terus kekal berkuasa, keadaan yang sebaik-baiknya untuk Muhyiddin ialah menamatkan darurat apabila Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk memenangi pilihan raya.

Ini adalah taktik yang digunakan oleh BN untuk menawan negeri Kelantan daripada tangan Pas pada Mac 1978. Tiga bulan sebelum itu, darurat diisytiharkan di negeri itu setelah Menteri Besar, Datuk Muhammad Nasir yang disokong UMNO menerima undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi enggan meletak jawatan.

Kalau dijangka kes-kes kluster mahkamah, untuk memaksa UMNO terima pimpinan Bersatu, itu angan-angan. Di bawah sistem pilihan raya first-past-the-post sekarang, UMNO dan Bersatu cuba 'menghapuskan' antara sama lain.

UMNO yang terlepas belenggu kluster mahkamah hanya akan melawan PN dengan lebih kuat. Apakah darurat akan berlangsung?

Keempat dan yang paling penting, bolehkah pilihan raya baharu membawa kestabilan politik?

Dengan lawan tiga segi di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), tiada gabungan akan dapat majoriti mudah 112 kerusi, pada keesokan hari PRU. Tidak mungkin mana-mana gabungan dapat menawan 112 kerusi - malah 100 pun susah - daripada 165 kerusi di Semenanjung.

Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan malah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berada di kem PN akan menentukan gabungan mana disokong di peringkat Persekutuan berdasarkan tawaran oleh ketiga-tiga pemikat utama. Ini bermaksud gejala ahli Parlimen melompat parti dan parti melompat gabungan akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kebiasaan baharu

Kalau kita inginkan kestabilan politik, kita mesti menerima kebiasaan baharu (new normals) dan membentuk norma baharu (new norms) dan bukan cuba mengembalikan kebiasaan lama dan norma lama bagai menegakkan benang yang basah.

Kebiasaan baharu pertama ialah Parlimen tergantung iaitu tiada gabungan atau parti majoriti di Dewan Rakyat. Susulannya, kerajaan gabungan pasca pilihan raya seperti PN akan menjadi kebiasaan sungguhpun gabungan pra pilihan raya seperti BN dan PH tetap akan wujud.

Malah, kerajaan gabungan pasca pilihan raya mungkin berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri. Sesetengah kerajaan mungkin minoriti.

Kesemua itu tidak membinasakan kestabilan politik sekiranya kerajaan yang tiada atau lemah majoriti menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Belanjawan (Confidence and Supply Agreement, CSA) dengan sesetengah parti pembangkang untuk menjadi kemenangan kerajaan dalam undi tidak percaya dan belanjawan.

Semua kerajaan di New Zealand daripada 1999 sampai 2020 mempunyai CSA dengan pembangkang, dan politik negara itu tetap stabil.

Malah, kalau kemelut politik tidak boleh ditenteramkan oleh pilihan raya baru sementara norma baharu seperti CSA boleh membawa kestabilan politik, maka kita harus berani mempertimbangkan perjanjian antara-parti untuk meneruskan Parlimen sampai 15 Julai 2023.

Jika parti kerajaan dibenarkan terus mentadbir sampai penuh tempoh Parlimen dengan semakan efektif pembangkang, sementara pembangkang juga diberi layanan sama rata dalam peruntukan kawasan dan jaminan PRU15 yang bebas dan adil, maka gencatan senjata antara parti kerajaan dan parti pembangkang tidak mustahil. Ini akan menguntungkan semua.

Sebenarnya, idea gencatan senjata – dalam versi yang berlainan pada titik masa yang berlainan – telahpun diutarakan oleh tiga orang pemimpin pembangkang iaitu Anthony Loke (DAP), Wilfred Madius Tangau (UPKO) dan Shafie Apdal (Warisan).

Saya menyeru Muhyiddin mengakhiri darurat dan menstabilkan politik Malaysia dengan melaksanakan CSA malah perjanjian untuk PRU pada 2023.

Rakyat untung bila kedua-dua kerajaan dan pembangkang boleh memainkan peranan bermakna untuk melawan wabak dan memulihkan ekonomi.

Dari gunung mulanya jalan,

Terus belayar merentasi ombak.

Darurat tidak jamin kestabilan,

Gencatan senjata lawan wabak.

* Prof Wong Chin Huat seorang ahli sains politik yang mengkhusus dalam institusi politik dan persaingan antara kelompok