X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan Warriors persoal tindakan PSM

Ahmad Syazwan
A
A

PENGURUSAN Kelantan Warriors mempersoalkan peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dilihat tidak bersedia dengan pelan dalam menghadapi sebarang kemungkinan sebelum penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan berkata, kemungkinan tersebut termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan peningkatan kes positif secara berterusan di negara ini.

“Saya sendiri sebelum kejohanan bermula telah bertanyakan kepada pihak penganjur adakah ada perbincangan dengan pasukan atau bersedia untuk menangguhkan terlebih dahulu kejohanan memandangkan kes positif Covid-19 meningkat setiap hari.

“Bagaimanapun, tidak ada sebarang jawapan balas terhadap pertanyaan itu dan kita mengikut jadual perlawanan yang telah ditetapkan. Kami telah bermain satu perlawanan dan selepas itu kejohanan ditangguhkan dan semua pasukan pulang ke tempat masing-masing sebelum PKP.

“Sebenarnya pelbagai faktor perlu diambil kira termasuklah masa perjalanan, kos dan keselamatan pemain serta pegawai perlu diambil kira. Kami paling jauh berbanding pasukan lain yang kebanyakan berada di Lembah Klang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Rabu lalu, PSM memaklumkan bahawa penangguhan STL Champions Cup itu demi mematuhi arahan yang telah diumumkan kerajaan berkaitan pelaksanaan PKP.

Champions Cup yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Johor terpaksa ditunda berikutan negeri terbabit antara yang dikenakan PKP bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Syazwan mengakui sedikit kecewa pada perlawanan pertama Kelantan Warrios bertemu dengan Penang Black Panthers selepas tewas 9-21 dan 11-21.

“Ia bukan keputusan yang kita harapkan dengan pengalaman yang dimiliki pemain. Pada set pertama kita dilihat terlebih dahulu menguasai gelanggang sebelum pasukan lawan menemui rentak.

“Kita agak terlalu berasa selesa dan memberi peluang kepada lawan untuk mendapatkan keyakinan sehingga kita tewas di set kedua.

“Dengan penangguhan ini diharapkan pemain dapat meneruskan latihan secara individu bagi mengekalkan stamina dan momentum,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!