PKP 2.0 dilihat lebih bersasar

Dianggarkan pelaksanaan PKP 2.0 akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi negara satu peratus. - Foto 123RF
Dianggarkan pelaksanaan PKP 2.0 akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi negara satu peratus. - Foto 123RF
A
A
A

PENINGKATAN mendadak kes Covid-19 memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan proklamasi darurat.

Jika tahun lalu, PKP menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari dan penyusutan ekonomi sebanyak 5.5 peratus pada tahun 2020.

Adakah PKP 2.0 dan proklamasi darurat itu akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara?

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) am yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelaksanaan PKP 2.0 dilihat lebih bersasar.

Ini kerana walaupun PKP 2.0 dan proklamasi darurat dilaksanakan, tiada perintah berkurung dikuatkuasakan dan kebanyakan perniagaan masih dibenar beroperasi.

Perkara itu memberi jaminan pekerjaan dan mengawal kadar pengangguran daripada terus bertambah selain memastikan kitaran ekonomi kekal aktif.

Pelaksanaan PKP akan melemahkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa pendek. Jika dibandingkan dengan PKP 1.0, tempoh PKP kali ini lebih singkat iaitu selama dua minggu.

Dianggarkan pelaksanaan PKP 2.0 akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi negara satu peratus.

Artikel Berkaitan:

Perlu diingatkan negeri yang terlibat dalam PKP 2.0 merupakan negeri-negeri yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan mempunyai kadar kepadatan penduduk yang tinggi.

Apa yang membimbangkan adalah sekiranya kes harian Covid-19 kekal empat angka selepas dua minggu pelaksanaan PKP 2.0, besar kemungkinan untuk tempoh PKP dilanjutkan.

Sekiranya ini terjadi, pasti akan melemahkan lagi ekonomi negara.

Keadaan ini akan menyebabkan indeks keyakinan perniagaan mengalami penurunan dan menyebabkan pengurangan perbelanjaan yang akan meningkatkan kadar pengangguran.

Selain itu, peniaga runcit dan penjaja adalah antara golongan yang akan terjejas jika PKP 2.0 dilanjutkan.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November lalu tidak mengambil kira sekiranya keadaan pandemik Covid-19 bertambah teruk.

Dengan itu, dasar fiskal tambahan amat diperlukan bagi membantu golongan yang terkesan dan berkemungkinan Bank Negara terpaksa menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.50 peratus walaupun ia memberi kesan negatif.

Bagaimana pula dengan landskap pelaburan? Proklamasi darurat dapat membantu meredakan polemik politik negara buat sementara waktu (tiada pilihan raya sehingga tamat darurat).

Ini dapat mengurangkan risiko politik ke atas pelaburan. Walaupun ada yang berpendapat bahawa proklamasi darurat menyebabkan peningkatan sentimen negatif dalam kalangan pelabur khususnya pelabur asing, namun keadaan ini hanya bersifat sementara.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang melaksanakan proklamasi darurat bagi mengatasi Covid-19.

Bagi pasaran modal, walaupun kedua-dua pengumuman itu telah memberi sedikit peningkatan kepada volatiliti indeks FBKLCI pada Selasa lalu tetapi ia jauh lebih rendah jika dibandingkan pada 20 Mac tahun lalu.

Bagi pelabur domestik, pelaksanaan PKP 2.0 sudah dijangka apabila jumlah kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak pada Disember lalu.

Justeru, pelabur melihat pelaksanaan PKP 2.0 sebagai peluang sekiranya berlaku sell-off.

Vaksin Covid-19 masih menjadi katalis utama dalam proses pemulihan ekonomi dan juga pasaran saham.

Malaysia dijangka mulakan pengagihan vaksin seawal suku tahun pertama.

Ini akan mempercepatkan pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara yang seterusnya memberi pulangan positif kepada sebahagian besar saham.

* Mohd Sedek Jantan ialah Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd