Rasuah perlu dibanteras habis-habisan

Sepertimana Covid-19, usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memutuskan rantaian rasuah secara menyeluruh. - Foto 123RF
Sepertimana Covid-19, usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memutuskan rantaian rasuah secara menyeluruh. - Foto 123RF
A
A
A

DI negara kita sudah ada beberapa agensi yang ditubuhkan khusus untuk menangani masalah integriti, rasuah, penyelewengan dan salah laku seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM).

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysia Corruption Watch (MCW), Yayasan Anti Rasuah Malaysia,Transparency International-Malaysia, Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) dan sebagainya turut ditubuhkan untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Pada masa sama peningkatan kes rasuah membuktikan virusnya sudah menjadi seperti pandemik dalam masyarakat kita dan begitu sukar untuk dikawal.

Sepertimana Covid-19, usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memutuskan rantaian rasuah secara menyeluruh.

Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak akan berjaya sekiranya dilakukan secara berseorangan atau meletakkan tanggungjawab itu hanya kepada SPRM.

Pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengajak seluruh rakyat Malaysia ‘menggempur amalan rasuah dan salahguna kuasa’ yang sudah sampai pada tahap kritikal dan menjadi budaya jijik melalui Sinar Rasuah Busters.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini pernah bertitah, memerangi rasuah hendaklah dijadikan satu perjuangan – satu jihad oleh setiap warganegara Malaysia.

Baginda juga bertitah agar akhbar melaporkan sebarang salah laku rasuah tanpa bersikap memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah kerana rasuah ialah rasuah walau siapa yang melakukannya.

Artikel Berkaitan:

Ini yang akan dilakukan oleh Sinar Harian seperti mana akhbar ini membongkar kartel daging import haram yang modus operandi mereka menyogok banyak pihak sehingga membawa kepada serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Tokoh Wartawan Negara ke-12, Tan Sri Johan Jaafar dengan lantang menyatakan ‘menerima rasuah bukan hero tetapi musuh rakyat!’

Rasuah adalah perbuatan yang amat terkutuk sehingga dilaknat ALLAH dan Rasul, jadi sama-sama kita membanterasnya habis-habisan.