Bina semula muka Perak Man

A
A
A

PERAK Man merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia berumur antara 10,000 hingga 11,000 tahun.

Rangka Perak Man telah dijumpai pada tahun 1991 dalam Gua Gunung Runtuh yang terletak di Lembah Lenggong, Perak.

Penemuannya adalah hasil penyelidikan yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Profesor Datuk Dr Zuraina Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Ia adalah rangka tulang manusia yang hampir sempurna yang ditemui di Asia Tenggara pada zaman batu era paleolitik dan merupakan tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan kongenital yang dikenali sebagai brchymesophalangia.

Perak Man telah dikebumikan dalam posisi janin di dalam kandungan, dengan kedua kakinya berlipat ke arah dada. Ia dikebumikan dengan peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai.

Sebahagian besar tengkorak dan tulang Perak Man yang ditemui masih elok dan ia membolehkan kita memahami tentang kehidupannya. Berdasarkan kajian Jacob dan Soepriyo (1994), Perak Man merupakan lelaki berumur antara 40 hingga 45 tahun dengan ketinggian 157 sentimeter, menjalani kehidupan sihat, memakan makanan berfiber dan berjalan dengan membongkok. Dia memiliki tangan kiri yang lemah (atrofi) dan satu jari cacat.

Oleh kerana rangka yang ditemui berusia lebih 10,000 tahun, ia agak rapuh dan mudah pecah. Dengan adanya teknologi percetakan 3D, tengkorak Perak Man yang diimbas dengan pengimbas tomografi berkomputer (CT scan) boleh dicetak semula dan dihasilkan dengan saiz dan ukuran yang tepat sebagaimana tengkorak asal.

Kaedah tradisional

Artikel Berkaitan:

Data yang diperoleh daripada pengimbas CT akan diproses menggunakan perisian komputer sebelum dihantar untuk cetakan 3D. Sebelum ini, model 3D tengkorak yang dicetak diproses secara tradisional iaitu berdasarkan penanda anatomi dengan purata ketebalan tisu muka dan kepala, plastisin atau tanah liat akan ditampal pada tengkorak tersebut.

Bagaimanapun, kaedah tradisional ini bergantung 100 peratus pada kebolehan pembuatnya termasuk daya imaginasinya dan hasil yang diperoleh juga agak subjektif. Bukan itu sahaja, proses pembuatan juga agak lama kerana memerlukan ketelitian.

Penemuan arkeologi yang sama pernah diterbitkan dalam laman web National Geographic; sekumpulan ahli arkeologi telah menjumpai tapak pengebumian lama di sebuah gua di Gibraltar.

Tengkorak yang dijumpai telah musnah sebahagiannya.Usia tengkorak yang ditemui di Gibraltar itu menjadi misteri bertahun-tahun lamanya sehinggalah pada tahun 2019 apabila analisis DNA dan kajian lain telah mendapati bahawa tengkorak itu milik seorang wanita yang hidup di Gibraltar kira-kira 7,500 tahun yang lepas.

Muzium Kebangsaan Gibraltar mengambil langkah mengimbas tengkorak tersebut dan menggunakan teknologi rekabentuk komputer (CAD) untuk mereka bentuk rahang dan bahagian tengkorak yang musnah sebelum mencetaknya.

Mereka mengambil masa enam bulan dengan menggunakan tanah liat dan silikon, atas model tengkorak 3D bagi mendapatkan anggaran rupa bentuk muka wanita tersebut yang diberi nama Calpeia.

Pembinaan semula wajah forensik (forensic facial reconstruction) secara 3D memberikan sumbangan yang signifikan kepada bidang arkeologi, antropologi serta penyiasatan forensik.

Penggunaan CAD untuk rekonstruksi muka secara 3D banyak memberikan kelebihan serta menjimatkan masa jika dibandingkan dengan cara tradisional.

Adakah kita mampu merekonstruksi muka Perak Man menggunakan teknologi terbaharu ini?

Saya percaya kita mempunyai kemampuan setanding pihak luar, dengan kepakaran yang ada di USM dan kerjasama penyelidik-penyelidik tempatan mahupun luar negara.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.