Telus siasat ciapan SKMM

A
A
A

PADA 12 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan satu siaran akhbar berkaitan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat.

Siaran media itu mengingatkan semua pihak terutama pengguna media sosial agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

Menurut SKMM, mereka akan akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

Perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan sekiranya disabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Pada hari sama, netizen mendedahkan beberapa ciapan lama dihantar akaun rasmi dan disahkan SKMM iaitu @SKMM_MCMC pada sekitar 2013 hingga 2014.

Ciapan itu bercanggah dengan saranan SKMM sendiri melalui siaran media mereka pada hari sama kerana ciapan itu lucah, sumbang, mengancam dan/atau jelik sifatnya.

Selepas pendedahan itu, SKMM telah menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu.

SKMM juga mendakwa bahawa akaun itu telah ‘diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab’ dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan hantaran mesej yang mencurigakan, jelik dan bersifat fitnah yang telah dimuat naik melalui akaun itu yang kononnya bukan dikeluarkan oleh pihak SKMM.

Artikel Berkaitan:

Akan tetapi, ramai yang mempertikaikan dakwaan itu. Mereka mengatakan bahawa adalah tidak munasabah bahawa akaun SKMM itu diceroboh kerana ciapan akaun itu diceroboh sekalipun adalah mustahil untuk back-date mana-mana ciapan.

Pada masa sama, seorang pengguna media sosial @NazruiHakim mendakwa akaun SKMM itu asalnya akaun peribadinya yang kemudian telah dijual beberapa tahun lalu kepada seseorang semasa akaun tersebut mempunyai 50,000 pengikut.

Selepas diasak netizen tentang perkara itu, akhirnya pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi respon untuk membuat siasatan menyeluruh tentang ciapan daripada akaun itu.

Kemudian pada 14 Januari lalu, KKMM mengumumkan penubuhan jawatankuasa untuk siasat kes itu.

Menurut KKMM, jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter SKMM tersebut bagi mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terlibat serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.

Apa dikatakan oleh pengguna @NazruiHakim itu menimbulkan beberapa persoalan yang wajar disiasat oleh jawatankuasa tersebut.

Pertama, adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

Kedua, jika benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi? Ketiga, sekiranya ia diambil alih, adakah benar terdapat bayaran terlibat?

Keempat, adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar? Kelima, jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?

Apa yang terjadi itu melibatkan sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa yang meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan juga interaksi sosial orang awam dalam talian.

Sepatutnya, pihak SKMM berterus-terang dari awal pendedahan itu dan bukannya membuat dakwaan tidak munasabah bahawa akaun mereka diceroboh.

Rakyat terutama netizen akan menunggu apa hasil siasatan jawatankuasa yang ditubuhkan.

Perak Man telah dikebumikan dalam posisi janin di dalam kandungan, dengan kedua kakinya berlipat ke arah dada. Ia dikebumikan dengan beberapa peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai.”

* Syahredzan Johan ialah seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur