Covid-19: Thailand catat 374 kes baharu, sifar kematian

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Thailand telah merekodkan sejumlah 374 jangkitan baharu Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 12,054 dengan 70 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Thaweesilp Wissanuyothin berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 364 adalah jangkitan tempatan dengan 321 melalui pengesanan kes aktif manakala 43 lagi mempunyai kaitan dengan mereka yang berkunjung ke kawasan berisiko tinggi dan 10 merupakan kes import.

Beliau berkata, Thailand yang menyaksikan gelombang kedua penularan bermula pada pertengahan Disember mencatat sejumlah 7,817 kes dengan 10 kematian. Penularan terkini itu telah merebak ke 61 wilayah.

“Kami menjangkakan lebih banyak kes Covid-19 semasa pihak berkuasa awam meningkatkan pengesanan kes aktif di kilang-kilang di beberapa wilayah,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Ahad.

Sejak penularan virus itu pada Januari tahun lepas, Thailand telah mencatatkan sejumlah 12,054 kes Covid-19 yang menyaksikan 9,777 adalah jangkitan tempatan termasuk 3,707 menerusi pengesanan kes aktif dan 2,277 merupakan mereka yang pulang dari luar negara.

Thaweesilp turut meluahkan kebimbangan dengan pekerja asing tidak berdokumen yang mengelak menjalani ujian saringan Covid-19 susulan khuatir tindakan perundangan diambil terhadap mereka kerana kumpulan itu boleh menyebarkan virus berbahaya tersebut.

“Kami menganggarkan sejumlah 50,000 pekerja asing haram di negara ini dan mereka berpotensi menyebarkan virus itu jika mengelak melakukan ujian saringan Covid-19 semasa pengesanan kes aktif,” katanya.

Bagi mengekang penularan COovid-19, Thailand telah membenarkan pekerja migran tidak berdokumen dari Kemboja, Laos dan Myanmar memohon permit kerja tanpa penalti bagi membolehkan pihak berkuasa memantau kesihatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mereka dibenarkan bekerja di negara itu secara sah sehingga Februari 2023.

Sementara itu, Perdana Menteri, Prayut Chan o-Cha memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan membuat keputusan yang terburu-buru dalam meluluskan vaksin Covid-19.

Menurut portal berita Bahasa Inggeris The Nation, Prayuth enggan membiarkan rakyat Thailand dijadikan sebagai bahan uji kaji.

“Saya mempunyai satu dasar yang penting iaitu memastikan vaksin tersebut adalah selamat dan boleh digunakan oleh rakyat Thailand," katanya.

Thailand dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 daripada syarikat Sinovac Biotech dari China pada Februari.

Penghantaran pertama sebanyak 200,000 dos dijangka tiba pada akhir Februari, manakala 800,000 dos pada akhir Mac dan sejuta dos lagi pada akhir April. - Bernama