Segera siasat dakwaan kes rogol gadis bawah umur: Wanita Pejuang

CHE ASMAH
CHE ASMAH
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa pihak berwajib menjalankan siasatan segera berkaitan dakwaan kes rogol gadis bawah umur ketika ditahan lokap oleh seorang lelaki di balai polis di Miri pada 9 Januari lalu.

Pemimpin Wanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, menurut sebuah portal, gadis berusia 16 tahun tersebut ditangkap polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi haram dalam talian.

Menurutnya, mangsa ditahan di sel penjara yang berasingan dengan tahanan lelaki dan wanita tersebut mendakwa pintu sel lokap lelaki tidak berkunci.

“Pada hari kejadian, mangsa berkata pelaku yang didakwanya mempunyai kunci, membuka pintu sel lokapnya dan merogolnya di tandas.

“Kejadian ini mengundang pelbagai tanda tanya berhubung SOP (prosedur operasi standard) pengendalian tahanan di lokap balai polis berkenaan.

“Mangsa merupakan wanita di bawah umur, apakah penahanan mangsa di lokap bertepatan? Apakah prosedur pengendalian tahanan lelaki dan wanita bagi menjamin keselamatan tahanan?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, Asmah berkata, kejadian tersebut akan membuatkan rakyat keresahan terhadap kewibawaan pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam memelihara keselamatan rakyat.

Katanya, balai polis sepatutnya menjadi tempat yang selamat kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

“Pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya di atas sebarang kecuaian sama ada disengaja atau tidak disengajakan.

“Rakyat juga ingin tahu apakah tindakan penambahbaikan yang diambil bagi menjamin kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.