Darurat: Kerajaan boleh kuat kuasa undang-undang dengan cepat

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undang baharu dengan lebih cepat dan pantas di dalam tempoh darurat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam tempoh darurat, undang-undang baharu yang dibuat boleh terus dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ada perkara yang secara cepat perlu kuat kuasa undang-undang. Cara kuat kuasa undang-undang biasa akan mengambil masa empat hingga enam bulan, tetapi untuk Covid-19, kita kena bertindak serta-merta.

“Proses kuat kuasa undang-undang biasa ada tiga cabang iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara dan YDPA (Yang di-Pertuan Agong).

“Tapi bagi tujuan darurat, daripada Kabinet terus bawa kepada YDPA tanpa melalui proses Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam video siaran langsung di Facebooknya pada Ahad.

Dalam masa sama, Annuar berkata, jika peraturan tersebut ingin digunakan selepas tempoh darurat, ia perlu dibentang semula ke dalam Parlimen.

Tambahnya, sekarang bukan masanya untuk berpolitik malahan perlu lebih banyak tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Menjawab persoalan berkaitan keputusan membuka taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, perubahan tersebut dibuat berdasarkan aduan orang ramai dan penilaian serta perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

"Isu taman ini, kita telah bawa ke mesyuarat dan dibincang oleh Perdana Menteri dan MKN, boleh dibuka tetapi dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

“Taman awam boleh dibuka, tetapi hanya kegunaan yang tidak bercanggah dengan garis panduan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Soal dobi layan diri, kedai cermin mata, taman awam dan ada lagi yang mungkin dibenarkan, kita mesti menjadi kerajaan yang lebih mendengar, tidak boleh (jadi) kerajaan yang asal keluar peraturan saja, ini tak boleh, itu tak boleh,” katanya.