Mangsa banjir di Sabah terus meningkat, Johor pulih sepenuhnya

 Pekan Donggongon Penampang mula dinaiki air setelah hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto Bernama
Pekan Donggongon Penampang mula dinaiki air setelah hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, sementara Pahang dan Sarawak semakin pulih dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan manakala Johor pulih sepenuhnya daripada bencana itu setakat petang ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir setakat jam 4 petang tadi bertambah kepada 348 orang daripada 91 keluarga berbanding 176 mangsa melibatkan 43 keluarga pagi tadi dengan kesemuanya ditempatkan di sembilan PPS.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, daerah Kota Belud kembali dilanda banjir dengan 34 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Tun Said, manakala Masjid Jamek di Kota Kinabalu menempatkan 62 orang dan 39 individu berada di PPS Dewan Likas.

"Tujuh lagi daerah dilanda banjir ialah Pitas dengan 45 orang dipindahkan, Beaufort (32 orang), Paitan (73), Putatan (25) dan Penampang (38), manakala Tuaran dan Papar tiada mangsa dipindahkan setakat ini.

"Bagaimanapun, paras air banjir di Tuaran dan Papar terus meningkat petang ini dengan hujan masih berterusan dan amaran cuaca buruk telah dikeluarkan sepanjang hari ini. Trend pemindahan mangsa banjir dijangka terus meningkat," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu di Pahang pula, banjir di Temerloh dan Bera pulih apabila tiga PPS terakhir di daerah tersebut ditutup petang ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan PPS itu ialah Kolej Komuniti Temerloh yang menempatkan dua orang, manakala di Bera melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Charuk Puting (22 orang) dan Masjid Kampung Mengkarak (32 orang).

Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Pahang setakat 2.30 petang ini ialah seramai 3,107 orang daripada 861 keluarga yang masih berada di 34 PPS, dengan Pekan mencatat jumlah tertinggi seramai 2,050 orang diikuti Kuantan (715 orang) dan Maran (342 orang).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang berada di PPS terus berkurangan dengan 1,208 mangsa setakat ini berbanding 1,870 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata, sebanyak 12 PPS masih beroperasi di tiga bahagian yang dilanda banjir sejak Rabu lalu.

Bahagian Serian merekodkan jumlah tertinggi melibatkan 1,088 orang di 10 PPS, diikuti Kuching (113 orang di sebuah PPS) dan Miri (tujuh orang di sebuah PPS).

Di Johor pula, keadaan banjir pulih sepenuhnya selepas operasi dua PPS terakhir, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat ditamatkan pada jam 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R.Vidyananthan berkata, kesemua 76 orang melibatkan 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Segamat yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Gemereh dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Turut dibenarkan pulang ialah 17 orang daripada tiga keluarga dari Kampung Talang Bunut, Parit Raja di Batu Pahat yang ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Parit Raja,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. - Bernama