Tiga lelaki menyamar pegawai Imigresen, samun warga asing

MOHD ZAIN
MOHD ZAIN
A
A
A

MARANG- Seorang lelaki warga Myanmar kerugian hampir RM4,000 selepas disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam, di Binjai Rendah Bukit Payong, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 30-an dikatakan berada di rumahnya sebelum didatangi tiga lelaki tempatan memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen.

Menurut sumber, suspek memaklumkan tujuan mereka ke rumah mangsa untuk melakukan pemeriksaan dokumen.

"Tanpa curiga mangsa membenarkan ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumahnya dan ketika berada di dalam rumah, kesemua suspek meneruskan 'lakonan' dengan menyemak semua butiran peribadi mangsa.

"Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengacukan pisau di belakang leher mangsa serta memukul beberapa kali di badannya sebelum mengambil wang tunai berjumlah hampir RM4,000 di dalam beg galas yang dipegangnya.

"Mangsa yang terkejut dan takut hanya mampu melihat dua lelaki itu melarikan beg galasnya," katanya ketika dihubungi Ahad.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.