JAM sasar 5,000 unit beg darah, tampung keperluan seluruh Malaysia

Foto Pusat Darah Negara yang dimuat naik di Facebook Khairil Nizam.
Foto Pusat Darah Negara yang dimuat naik di Facebook Khairil Nizam.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Amal Malaysia (JAM) mensasarkan 5,000 unit beg darah bagi menampung keperluan pesakit di seluruh hospital di negara ini.

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila mereka berjaya melepasi separuh daripada sasaran dalam masa sehari.

“Alhamdulillah, semalam sahaja kami mengumpulkan 3,540 unit beg darah dari 46 lokasi dari Perlis hingga ke Sabah.

“Melepasi angka separuh daripada sasaran dalam masa sehari adalah di luar jangkaan kami.

“Kami terharu apabila penderma daripada pelbagai bangsa hadir sambil tersenyum menyumbang kepada Tabung Darah Negara,” katanya menerusi siaran di akaun Facebook miliknya pada Ahad.

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin

Beliau yang merupakan ahli kepada JAM berkata, aktiviti ini merupakan usaha program Derma Darah Mega dalam menggalakkan masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.

“Selain daripada tanggungjawab sosial kepada rakyat, objektif utama program Derma Darah Mega ini bertujuan meningkatkan kesedaran anak muda Malaysia menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Ingat, satu beg darah ini boleh menyelamatkan sekurang-kurangnya satu nyawa rakyat Malaysia!,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berbangga kerana orang ramai memberi sokongan kepada kempen ini dan pada masa yang sama dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Hadir sama dalam program ini, Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong.