Gagal banteras warga asing punca PKP dilaksanakan semula

Warga asing berniaga di kedai runcit dan menjual rokok secara haram di kedai runcit di Segambut, Kuala Lumpur. - Foto: Muhammad Firdaus Khan
Warga asing berniaga di kedai runcit dan menjual rokok secara haram di kedai runcit di Segambut, Kuala Lumpur. - Foto: Muhammad Firdaus Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan pihak berkuasa membanteras warga asing di Malaysia antara punca kenaikan kes Covid-19 yang menjurus kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Penerangan Armada Bersatu Bahagian Klang, Muhammad Firdaus Khan berkata, selain peristiwa yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, warga asing turut menjadi penyumbang kepada kenaikan kes Covid-19.

Menurutnya, jika dahulu kerajaan dapat mengurangkan kes baharu Covid-19 daripada tiga angka kepada satu angka, kini kes semakin meningkat kerana ramai warga asing yang tidak diketahui status kesihatannya didakwa memasuki Malaysia melalui jalan tikus.

Muhammad Firdaus juga mendakwa golongan itu berniaga seperti biasa tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya lihat di kawasan Mont Kiara, terdapat warga asing yang masih keluar lebih daripada dua orang untuk membeli barangan harian.

“Pada saya, tidak adil jika hanya rakyat Malaysia yang perlu patuh kepada arahan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain itu, Firdaus juga mendakwa ada pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah tidak mengambil tindakan untuk membanteras golongan tersebut yang berniaga tanpa mengikut SOP di Segambut, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

MUHAMMAD FIRDAUS
MUHAMMAD FIRDAUS

Ujarnya, beliau sendiri pernah melaporkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai peniaga dalam kalangan warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah, namun mereka mendakwa tidak boleh menangkap golongan tersebut kerana tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau turut mencadangkan DBKL bekerjasama dengan Imigresen dibantu penjawat awam lain untuk melakukan pemeriksaan ke atas warga asing

Bagaimanapun katanya, masih ada yang berani mendedahkan maklumat pengadu kepada orang yang diadukan berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Saya pernah membuat satu laporan kepada pihak DBKL berkenaan sebuah warung yang dikendalikan oleh warga asing di Mont Kiara kerana dia mendakwa terdapat isu rasuah di situ.

“Kemudian, pihak DBKL ke warung itu untuk melakukan pemeriksaan kerana saya melihat perkara itu terjadi depan mata saya sendiri, cuma saya tak dapat nak buktikan.

“Tidak lama kemudian, warung itu dirobohkan dan membina sebuah bangunan di situ, esoknya peniaga tersebut menghubungi saya kerana dia mendapat tahu saya membuat laporan mengenai kedainya," katanya.

Mengulas tentang isu rasuah berlaku dalam kalangan pegawai penguatkuasa, Firdaus mendakwa perkara tersebut menjadi salah satu punca ramai warga asing terlepas di sempadan negara dan berpeleseran di Malaysia.

“Saya mendakwa terdapat rasuah yang berlaku dalam kalangan mereka kerana jika tidak, mana mungkin warga asing ini terlepas daripada pengawasan mereka.

“Kerajaan boleh mengeluarkan arahan dan garis panduan, tapi penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan baik.

“Jika penjawat awam menjalankan tugas dengan integriti, perkara sebegini tidak akan berlaku dan rakyat tidak perlu menjadi mangsa,” katanya.