X

Kindly register in order to view this article
!

Dua nelayan dikhuatiri hilang ketika memancing

Pita kuning telah dipasang sekitar Jeti Nelayan Padang Temu bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat dua nelayan dikhuatiri hanyut berhampiran Pulau Udan di sini pada Ahad.
A
A

MELAKA - Dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu sejak empat hari lalu dikhuatiri hanyut berhampiran Pulau Udan di sini pada Ahad.

Nelayan berkenaan dikenali sebagai Ahmad Norizan, 38, dan Wan berusia dalam lingkungan 30-an.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Kanan Bomba ll Muhammad Izwan Arief berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.26 pagi dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, SAR itu melibatkan 36 anggota termasuk polis Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa dipercayai keluar memancing dan ada nelayan melihat mereka berada di sekitar Pulau Udan pada Rabu lalu.

"Mereka dipercayai hilang empat hari lalu sebelum keluarga membuat laporan polis pada hari ini (Ahad)," katanya.

Muhammad Izwan berkata, setakat ini operasi menyelamat masih diteruskan dalam jarak radius lapan hingga 10 batu nautika dari jeti.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak untuk menggunakan khidmat helikopter bagi membuat pemantauan di udara.

"Kita menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!