PKP: Dua individu gelang pink antara lima dikompaun di Putrajaya

PDRM
PDRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua lelaki antara lima individu pemakai gelang merah jambu dikenakan kompaun kerana ingkar prosedur standard operasi (SOP), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, individu pemakai gelang pink itu didapati ingkar arahan Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani kuarantin di rumah dan dikesan masing-masing berada di kawasan perumahan di Presint Diplomatik dan pusat komersial Ayer 8.

"Selain itu, satu kompaun dikeluarkan semalam (Sabtu) melibatkan penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program yang mengundang kehadiran orang ramai," katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pematuhan SOP PKP di sekitar Putrajaya di sini pada Ahad.

Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Putrajaya.

Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur tidak mendapat kelulusan polis untuk menganjurkan program selain penjarakkan fizikal sukar dilaksanakan serta menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, satu kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kerana membawa melebihi kapasiti dan satu lagi kompaun dikenakan terhadap pekerja pasar raya borong kerana gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, setakat Ahad, polis Putrajaya melakukan pemeriksaan terhadap 2,541 individu, 2,230 kenderaan dan 833 premis.

Justeru, beliau menasihati komuniti Putrajaya agar menangguh aktiviti yang melibatkan pengumpulan orang ramai dan sentiasa mematuhi SOP PKP serta tidak mengambil mudah dengan situasi penularan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai kena serius, sekiranya tiada kawalan, penularan akan terus merebak. Kita harap semua pihak dapat terus patuh SOP sehingga penularan terkawal," katanya. - Bernama