Kementerian sedia kerjasama libat program tanam kenaf integrasi

Mohd Khairuddin (kiri) menunjukkan produk-produk yang dihasilkan daripada kenaf selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor pada Ahad.
Mohd Khairuddin (kiri) menunjukkan produk-produk yang dihasilkan daripada kenaf selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor pada Ahad.
A
A
A

PARIT - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedia bekerjasama dengan agensi pertanian negeri untuk melaksanakan program penanaman kenaf secara integrasi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau negara (LKTN), pihaknya merintis usaha mengadakan usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bagi projek Ladang Rakyat Kenaf di Ladang Lambor di sini.

Menurutnya, melalui usahasama seperti itu, program penanaman kenaf dapat diuruskan secara terancang dan teratur.

"Kita harap program seumpama ini akan diikuti negeri lain kerana sebelum ini kita mempunyai pengalaman dalam projek kelompok yang tidak melibatkan agensi kerajaan negeri dan ini yang pertama sebagai perintis.

"Kita juga mengharapkan di Perak bukan sahaja di sini tetapi kita mahu digerakkan ke kawasan lain kerana bersifat bermusim, hanya empat bulan dan kita boleh pelbagaikan lagi projek seumpamanya selepas ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria; Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Ladang Rakyat Kenaf PPPNP itu melibatkan penanaman kenaf secara integrasi di ladang kelapa sawit milik perbadanan tersebut.

Menurutnya, keseluruhan kawasan yang terlibat dengan tanaman tersebut adalah seluas 563 hektar dengan tanaman sawit melibatkan 25 peratus atau 140 hektar akan ditanam dengan kenaf.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, projek tersebut melibatkan penyertaan 70 pekebun kecil yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

"LKTN akan memantau semua aktiviti penyelidikan serta pembangunan berkaitan penanaman sehingga pemasaran serta keluaran kenaf.

"Kita juga memperuntukkan RM2,385 sehektar sebagai insentif bagi Program Pembangunan Tanaman Baru Kenaf kepada peserta yang berminat," katanya.

Katanya, penanaman kenaf disasar mampu menyumbang tambahan pendapatan kepada peserta sehingga RM4,000 semusim.