X

Kindly register in order to view this article
!

Tinggal di PJ beri alasan beli makanan di Shah Alam

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika menjalankan pemeriksaan di SJR berhampiran Plaza Tol Damansara pada Ahad.
A
A

PETALING JAYA - Hendak beli makanan di Shah Alam. Itu antara alasan yang diberikan oleh segelintir pengguna jalan raya untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan berhampiran Plaza Tol Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia merupakan antara alasan yang diberikan segelintir pengguna jalan raya yang gagal menunjukkan surat kebenaran rentas daerah ketika diminta oleh anggota polis yang bertugas di SJR.

"Pelbagai alasan yang diberikan oleh segelintir pengguna jalan raya ketika melalui SJR, ada yang mahu membeli makanan di Shah Alam dan beberapa kawasan luar dari Petaling Jaya, jadi saya nasihatkan beli di kawasan di Petaling Jaya.

"Petaling Jaya sendiri mempunyai banyak restoran, kedai makan dan sebagainya, jadi bila tiada surat kebenaran memang kita akan minta pengguna jalan raya supaya patah balik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di SJR berhampiran Plaza Tol Damansara pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal

Menurutnya, dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pihaknya tidak dapat memberikan secara konklusi tahap kepatuhan ini.

"Hari ini (Ahad) hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, kita tidak dapat memberikan secara menyeluruh, perlu lihat pada esok yang mana bermula hari bekerja iaitu Isnin sehingga Jumaat.

"Kita juga ada menerima laporan mengenai pekerja yang mendakwa syarikat mereka bukan dari perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, namun disuruh bekerja. Kita akan buat pemantauan dan siasatan mengenai perkara ini," katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya telah melakukan 11 tangkapan melibatkan pelanggaran SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP.

"Sebanyak 139 pemeriksaan telah dijalankan dan 126 saman dikeluarkan.

"Saya merayu kepada masyarakat supaya sentiasa kekal berada di rumah kerana tanggungjawab untuk melengkungkan jangkitan Covid-19 ini terletak pada kita semua," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!