Gagal urus hutan punca kemusnahan air terjun

Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang terjejas dipercayai akibat kegagalan kerja penerokaan dan pembersihan hutan.
Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang terjejas dipercayai akibat kegagalan kerja penerokaan dan pembersihan hutan.
A
A
A

MANJUNG - Kegagalan mengurus kerja-kerja penerokaan dan pembersihan hutan dipercayai menjadi punca kerosakan kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini.

Tinjauan mendapati kawasan air terjun berkeluasan hampir satu hektar dengan ketinggian dianggarkan 300 meter yang terletak dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang itu dipenuhi dengan lebihan pokok dan kayu.

Lebihan pokok hasil penebangan hutan itu dapat dilihat di bahagian atas dan bawah kawasan air terjun berkenaan.

Keadaan tanah yang berselut di sekeliling kawasan menjadikan kawasan itu bertambah teruk.

Media dimaklumkan kawasan itu sebelum ini tidak boleh dilihat dari luar kerana ditutupi hutan tebal.

Bagaimanapun penggondolan hutan yang dilakukan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek kuari telah mengakibatkan air terjun terbabit kelihatan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan berkata, kawasan itu tidak dibuka kepada awam kerana terletak dalam kawasan HSK, namun menjadi tumpuan penduduk kampung dan penggiat aktiviti sukan luar kerana keunikan air terjunnya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan.

Menurutnya, penduduk kampung memberi gelaran air terjun tujuh tingkat kerana kedudukannya yang mempunyai lubuk-lubuk di setiap tingkat.

"Hari ini kita boleh tengok semua batuan di kawasan air terjun ini sudah turun ke bawah dan airnya mengalir dengan laju tanpa hentian di setiap tingkat sepertimana sebelum ini.

"Keadaan ini jauh berbeza dengan keadaan sebenar dan boleh dikatakan hampir 90 peratus kawasan asal di sini sudah musnah," katanya.

Beliau berkata, melihat kepada impak kemusnahan hutan di kawasan itu, pihaknya mengandaikan adalah sukar untuk kerajaan melakukan pemuliharaan semula.

Keadaan sekeliling kawasan Air Terjun Tanjung Batilu, Segari yang dipenuhi tanah selut.
Keadaan sekeliling kawasan Air Terjun Tanjung Batilu, Segari yang dipenuhi tanah selut.

Katanya, bagi memastikan keadaan tidak bertambah teruk, langkah awal perlu dilakukan adalah menghentikan segera kerja-kerja penerokaan yang memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan.

"Pada 2017 lalu, sudah ada bantahan awam dibuat supaya kerajaan tidak lagi mengeluarkan permit baru terhadap aktiviti pengkuarian di sini, bantahan ini turut mendapat respon secara bertulis kerajaan negeri sendiri yang bersetuju dengan kami.

"Tetapi apa yang berlaku, masih ada permit baru diluluskan yang kemudiannya memberi kesan terhadap kemusnahan alam seperti yang kita lihat hari ini," katanya.

Justeru Ismady berkata, Kuasa menggesa pihak berkuasa negeri meneliti dan memperhalusi semula atau sebaiknya aktiviti perlombongan dan pengkuarian khususnya dalam HSK tidak dilaksanakan.

Katanya, dalam konteks isu HSK Segari Melintang ini, Kuasa bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah kerap kali menggesa pihak berkuasa negeri mewartakan keseluruhan hutan simpan tersebut sebagai hutan perlindungan terutama sebagai Hutan Taman Negeri sama ada ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri atau ditubuhkan di bawah Seksyen 10 (1)(l), Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Pemandangan dari atas keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari.
Pemandangan dari atas keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari.

"Cadangan tersebut pada dasarnya telah dipersetujui di peringkat daerah dan negeri.

"Jadi sekiranya pihak berkuasa negeri komited untuk memastikan kawasan hutan yang mempunyai nilai kepentingan hayat terpelihara, mereka perlu menyegerakan cadangan 'Taman Negeri Segari Melintang' ini," katanya.