X

Kindly register in order to view this article
!

‘Tun M, tolong ketepikan ego’

BADROLHISHAM
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengkritik pentadbiran dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat semakin keterlaluan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata, sudah sampai masanya untuk Ahli Parlimen Langkawi itu mengetepikan ego dan menganggap seolah-olah tiada seorang pun terlebih baik daripadanya.

Menurutnya, tindakan Dr Mahathir yang mengkritik Perdana Menteri kerana dilihat masih belum menunjukkan kemampuan untuk menangani masalah negara susulan pengisytiharan darurat, dilihat tidak kena dengan masanya.

“Rakyat nampak secara jelas usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin bagi menangani pandemik Covid-19 dalam negara.

“Namun, ketidakstabilan politik negara yang dicetuskan oleh pimpinan parti politik dari parti pembangkang dan sebahagian pimpinan parti dari BN (Barisan Nasional) secara berterusan telah menghalang beliau untuk memberi tumpuan penuh kepada penyelesaian Covid-19.

“Usaha Tun (Dr Mahathir) dan rakan-rakan yang tidak menyokong Belanjawan 2021 telah dilihat oleh rakyat sebagai cubaan untuk menyekat usaha kerajaan mengatasi masalah Covid-19 dan ekonomi negara,” katanya.

Badrolhisham berkata, rakyat faham bahawa pengisytiharan darurat oleh kerajaan adalah kesan dari kedegilan pimpinan politik pembangkang yang tidak akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar hentikan segala ‘politiking’.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya semua pimpinan parti bersama menumpukan usaha menyelamat kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

“Ketepikan segala ego, seolah-olah tiada seorang pun terlebih baik 'dari dia’,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir menyifatkan Muhyiddin masih belum menunjukkan kemampuan untuk menangani masalah negara biarpun susulan pengisytiharan darurat.

Katanya, proklamasi darurat yang diisytiharkan itu memberikan kuasa yang besar kepada Perdana Menteri selain menghentikan politiking, bagaimanapun dari satu aspek lain, ia merupakan satu langkah kediktatoran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!