Kes denggi di Negeri Sembilan menurun

 S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan penurunan jumlah kumulatif kes denggi sebanyak 66.9 peratus atau 43 kes sehingga 15 Januari lalu berbanding 130 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, sebanyak 22 kes direkodkan dengan daerah Seremban merekodkan 17 kes.

Menurutnya, dua kes masing-masing direkodkan di daerah Tampin dan Jempol serta satu kes di Rembau, manakala daerah Port Dickson, Jelebu dan Kuala Pilah tidak mencatatkan sebarang kes.

"Tiada kes kematian denggi dilaporkan di negeri ini sehingga 15 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah sebanyak lapan lokaliti iaitu tujuh lokaliti wabak di Seremban dan satu di Jempol.

"Walaupun negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 sehingga 26 Januari, aktiviti pencegahan dan kawalan masih diteruskan.

"Ia melibatkan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes yang tertumpu di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan," katanya.

Katanya, masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan negara kita masih di dalam PKPB, gotong-royong kendiri digalakkan di kawasan rumah masing-masing di samping menjaga penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan," katanya.