Gantung perlembagaan tidak bantu negara pulihkan Covid-19

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM – Menggantung Perlembagaan sama ada secara separa atau sepenuhnya tidak akan membantu negara memulihkan pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang tidak pernah dialami dalam sejarah tetapi keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat hanya setakat untuk memastikan pandemik ini terkawal.

“Alangkah baik jika kerajaan mengisytiharkan ‘the state of Health Emergency’ dan memperkenalkan ordinan spesifik bagi tujuan tersebut.

“Hanya memperbaiki strategi kesihatan, meningkatkan kawalan penyakit seperti pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan dan menyegerakan imunisasi bagi memulihkan Malaysia dari wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, UMNO akan menyokong usaha kerajaan membasmi wabak ini.

Pada masa sama ujar beliau, UMNO juga akan berusaha memulihkan semula demokrasi dan mengembalikan semula fungsi Perlembagaan.

“Malaysia adalah demokrasi yang berjaya malah teladan negara demokratik yang terbaik dalam kalangan negara Islam.

“Demokrasi Malaysia tidak boleh dikalahkan oleh pandemik atau cabaran yang melanda negara ini. Ia akan terus menjadi negara hukum dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan pedomannya," katanya.

Artikel Berkaitan: