Pemberi maklumat perlu dilindungi mengikut Akta 711

Khairul Anwar Rahmat
Khairul Anwar Rahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam atau swasta sepatutnya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Peguam yang juga Penasihat Kehormat kepada Yayasan Policy And Economic Affairs Centre of Malaysia Foundation (Peace), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, akta tersebut memperuntukkan perlindungan sepenuhnya kepada pemberi maklumat mengenai jenayah berkenaan.

“Melalui akta itu, identiti pemberi maklumat dan maklumat perlu disimpan secara sulit daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menerusi akta itu juga beliau berkata, pemberi maklumat akan diberikan imuniti daripada sebarang tindakan sivil, jenayah atau tindakan tatatertib kerana mendedahkan perbuatan rasuah.

Tambah beliau, agensi penguatkuasa berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu berdasarkan aduan atau maklumat yang diberikan, kemudian memulakan penyiasatan ke atas pesalah yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Negara ini mempunyai peruntukan yang khusus untuk menjayakan masyarakat sifar rasuah. Laporkan kepada pihak berkuasa dan yakinlah bahawa anda akan dilindungi sepenuhnya dari sudut perundangan,” katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melancarkan inisiatif pemulihan moral bangsa dengan mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bangun menggempur amalan rasuah dan salah laku kuasa yang kini disifatkan sudah kritikal bagaikan satu wabak.

Gerakan yang dilancarkan itu menyeru orang ramai bekerjasama dengan akhbar ini dengan cara menyalurkan maklumat kepada Sinar Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Khairul berkata, inisiatif yang dicetuskan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub merupakan satu usaha berani pengamal media bagi mengembalikan moral rakyat di negara ini.

Menurutnya, jika selama ini masyarakat memandang tinggi kepada golongan kaya dan mewah, sudah tiba masanya juga mereka curiga jika golongan itu mempunyai kemewahan melebihi pendapatan mereka.

“Sebagai pengamal undang-undang, kami menyokong penuh usaha murni ini dan memberi komitmen untuk membantu dari sudut perundangan.

“Kami selaku peguam beriltizam untuk bersama-sama Sinar Harian dalam mengembalikan kompas moral masyarakat supaya semuanya bersatu menentang amalan rasuah,” ujarnya.