Guru didenda libas parang cederakan dua beradik

Yusri berkerusi roda dibantu polis keluar dari Mahkamah Majistret menggunakan lif ke lokap selepas dikenakan denda RM1,000.
Yusri berkerusi roda dibantu polis keluar dari Mahkamah Majistret menggunakan lif ke lokap selepas dikenakan denda RM1,000.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang guru didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah melibas parang ke arah seorang doktor dan adiknya hingga cedera.

Guru berkenaan, Yusri Budin, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri selepas pertuduhan dibacakan.

Yusri hadir ke mahkamah dengan menaiki kerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di sebuah sekolah di Perak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan atas bangkitan marah terhadap Dr Muhammad Aiman Mustaffa Kamal, 30, dan abangnya, Muhammad Faizal Mustaffa Kamal, 43.

Kesalahan dilakukan di tepi jalan di hadapan sebuah kolej di Lembah Sireh di sini pada jam 8.15 malam pada 28 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian adik-beradik berkenaan yang menaiki kereta jenis Perodua Viva hampir berlanggar dengan Toyota Vellfire yang dipandu tertuduh.

Ketika tertuduh berhenti di tepi jalan, adik-beradik tersebut datang dan berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak. Turut berada di dalam kenderaan itu, isteri dan anak tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Berlaku tumbuk-menumbuk antara mereka sebelum tertuduh secara tiba-tiba mengambil parang di tempat duduk dan melibas ke arah adik-beradik berkenaan lalu kemudiannya memandu meninggalkan tempat kejadian.

Akibatnya, Dr Muhammad Faizal cedera terbelah tapak tangan dan lengan kanan manakala adiknya terbelah tangan kiri. Mereka ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Raja Mohammad Afiq Raja Azmi, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya sudah insaf.

“Tertuduh kini sedang menerima rawatan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan motosikal pada Disember lalu selain perlu menanggung seorang isteri dan enam orang anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal terhadap tertuduh supaya kejadian itu tidak berulang dan menjadi pengajaran kepadanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar jumlah tersebut dan tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan.