Aktiviti pencatutan: Ahmad Zahid sambut baik tindakan KPDNHEP

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang akan bertindak tegas sekiranya siasatan mereka mendapati wujud aktiviti pencatutan menyusahkan rakyat.

Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengambil maklum kenyataan dibuat oleh KPDNHEP iaitu pada tahun 2016, subsidi minyak botol ditarik semula oleh kerajaan dan subsidi itu hanya diberikan ke atas minyak peket.

“Bagaimanapun, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah bertahun-tahun lebih awal diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid gesa KPDNHEP ambil tindakan harga minyak masak naik

“Di bawah akta itu, mana-mana peniaga yang didapati mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati boleh diambil tindakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Ahmad Zahid pada Jumaat menggesa KPDNHEP mengambil tindakan berhubung kenaikan harga barang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan darurat.

Menurutnya, ramai netizen sudah mula mengeluh dengan kenaikan harga minyak masak lima kilogram yang naik sehingga RM27.

Pada Ahad, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan polibeg satu kilogram (kg).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulangi ketegasan bahawa AKHAP 2011 sedia ada tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk tauke-tauke besar mengaut keuntungan secara berlebihan.