Bapa Bob Lokman dituduh ugut tembak anak saudara

Tertuduh, Lokman Ahmad, 83, (kanan) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas denda diputuskan terhadapnya atas dua kesalahan yang dilakukan.
Tertuduh, Lokman Ahmad, 83, (kanan) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas denda diputuskan terhadapnya atas dua kesalahan yang dilakukan.
A
A
A

KOTA BHARU - Bapa kepada selebriti, Bob Lokman didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini Ahad hari ini atas kesalahan mengugut untuk menembak anak saudaranya dan merosakkan harta Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian di sini pada November lalu.

Warga emas berkenaan, Lokman Ahmad, 83, dihukum Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut ingin menetak dan menembak anak saudaranya, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 32, di Masjid Tok Kenali, Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini pada jam 11 pagi pada 21 November tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, tempat dan di lokasi sama, Lokman didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan harta masjid dengan memecahkan pasu bunga dan memotong pokok bunga di kawasan masjid sama sehingga menyebabkan kerugian lebih RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun sehinhga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar.

Terdahulu, Mohd Murtadza memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana faktor usia anak guamnya yang sudah lanjut dan penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh merupakan seorang pesara muazzin dengan memperoleh pencen sebanyak RM450 sebulan. Dia menghidap kencing manis, darah tinggi dan sedikit masalah pendengaran,” katanya.

Sharifah Amirda Shasha bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman sebanyak RM4,000 atau penjara selama 12 bulan jika tertuduh gagal membayar denda untuk kedua-dua pertuduhan itu.

Tertuduh kemudian menjelaskan denda itu.