Beli minyak masak terpakai bantu orang asli pedalaman

Sebahagian sukarelawan yang turun padang bagi membantu masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
Sebahagian sukarelawan yang turun padang bagi membantu masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri yang mengusahakan sebuah syarikat membeli minyak masak terpakai mengambil inisiatif mengumpul dana hasil daripada jualannya untuk disumbangkan kepada masyarakat orang asli di kawasan pedalaman.

Soleha Ahmad, 37, dan suaminya, Wan Mohamad Haniffah, 43, membantu orang asli selepas melihat kedaifan masyarakat itu selepas melakukan program ziarah bersama Muslim Care Malaysia di perkampungan orang asli di Sungai Siput, Perak.

Menurut Soleha, masyarakat itu berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan akibat kesempitan hidup selain masalah pengangkutan dan jalan perhubungan yang rosak teruk terutama pada musim hujan.

"Minyak masak terpakai ini dibeli dari rumah ke rumah dan peniaga makanan, kemudian minyak akan dihantar ke pusat pengumpulan sebelum dijual kepada pengilang berlesen.

"Sebahagian hasil jualan minyak masak terpakai ini dapat membantu orang asli di beberapa negeri antaranya di Perak, Pahang dan Kelantan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Soleha berkata, program membeli minyak masak terpakai sekitar Selangor dan Terengganu itu juga membantu suri rumah serta peniaga kecil menjana pendapatan sampingan.

"Secara tidak langsung mereka (suri rumah dan peniaga kecil) juga menjadi penyumbang untuk mengumpul dana ini.

"Misalnya kami akan mengusahakan dana kelas fardu ain dan dana Jumaat pada setiap minggu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama daripada Muslim Care Malaysia dan Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB) bagi dana program bantuan makanan.

Rakan relawan Muslim Care Malaysia, Dr Nor Aini Ahmad berkata, terbaru menerusi kolaboratif itu mereka menyumbangkan barangan keperluan makanan di Kampung Orang Asli Selaor Gerik, Perak pada Sabtu.

Selain itu, pihaknya mendapat surat kebenaran rentas negeri daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIP) dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi tujuan penyerahan sumbangan.

Nor Aini yang juga Felo Penyelidik di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau difahamkan lebih RM1, 000 dana dikumpulkan bagi aktiviti itu, selain ada pihak yang menyumbang beras untuk diagihkan.

"Sebahagian dana ini kita kumpulkan untuk menyalurkan bantuan makanan dan program-program kebajikan kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan di negara ini," katanya.