Orang ramai melakukan aktiviti riadah PKP

Orang ramai melakukan aktiviti riadah di Taman Melawati pada Ahad.
Orang ramai melakukan aktiviti riadah di Taman Melawati pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Orang ramai mengambil peluang pada hujung minggu melakukan aktiviti berbasikal dan joging susulan aktiviti beriadah bersama keluarga selepas kerajaan membenarkan kegiatan itu bagi mengelak tekanan dan kesan kesihatan mental sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Taman Melawati mendapati ramai yang mematuhi dan mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai langkah mengelakkan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, masih ada individu yang melakukan aktiviti berbasikal secara berkumpulan dan melepak di beberapa lokasi termasuk di perhentian bas.

Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Jalani, 46, berkata, segelintir individu dilihat tidak patuh kepada syarat yang dikeluarkan oleh kerajaan apabila melakukan aktiviti riadah melebihi dua orang dan berkumpulan.

"Aktiviti riadah ini bagus tetapi ada yang membawa anak kecil dan mengayuh basikal secara berkumpulan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Satu keluarga membawa anak melakukan aktiviti riadah.
Satu keluarga membawa anak melakukan aktiviti riadah.

Sementara itu seorang suri rumah yang dikenali sebagai Siti Aminah, 38, berkata, rakyat tidak seharusnya mengambil kesempatan atas kelonggaran PKP ini.

"PKP kali ini ada kelonggaran tetapi kita jangan ambil mudah tentang SOP yang telah ditetapkan. Masyarakat perlu lebih peka dan sentiasa mematuhi SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pelaksanaan PKP dikuatkuasakan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, beberapa aktiviti riadah dibenarkan untuk dilakukan sepanjang tempoh terbabit antaranya joging dan berbasikal namun terhad secara bersendirian saja dengan jarak dua meter daripada individu lain.