RM100,000 untuk selenggara sistem perparitan di Pengerang: Azmin

Mohamed Azmin hadir program gotong-royong membersihkan Surau Al-Jamaliah Kampung Bukit Raja Darat, Sungai Rengit, Pengerang, di sini pada Ahad. - Foto Bernama
Mohamed Azmin hadir program gotong-royong membersihkan Surau Al-Jamaliah Kampung Bukit Raja Darat, Sungai Rengit, Pengerang, di sini pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM100,000 untuk menyelenggara sistem perparitan di Mukim Pengerang dan Pantai Timur di sini yang dikatakan punca bencana banjir di daerah itu awal bulan ini, kata Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata jumlah itu berdasarkan laporan teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pegawai daerah terbabit yang turut menegaskan perkara berkenaan merupakan isu mendesak di daerah tersebut.

“Jadi, saya bagi pihak kementerian bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 supaya kerja-kerja menyelenggara dapat disegerakan dengan proses kerja akan disediakan oleh JPS dan pejabat daerah,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membersihkan Surau Al-Jamaliah Kampung Bukit Raja Darat, Sungai Rengit, Pengerang, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata banjir baru-baru ini mengakibatkan 542 orang daripada 149 keluarga dari kedua-dua mukim terbabit dipindahkan ke lima pusat pemindahan.

“Ini bukan kali pertama, sudah beberapa kali kawasan ini dilanda banjir dan bencana itu bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk tetapi juga kegiatan ekonomi setempat,” katanya.

Berdasarkan kertas laporan banjir yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi, terdapat lebih 10 sistem perparitan yang perlu diselenggara segera melibatkan enam kawasan petempatan, iaitu Kampung Bukit Raja, Kampung Teluk Ramunia, Kampung Dato’ Ghani Othman, Taman Bayu Damai, Kampung Bukit Buloh serta Kampung Lepau. - Bernama

Artikel Berkaitan: