Lampard sifatkan Chelsea berhak menang

Mount
Mount
A
A
A

PENGENDALI Chelsea Frank Lampard menyifatkan skuad kendaliannya itu berhak untuk memenangi aksi berdepan Fulham di Craven Cottage pada awal pagi Ahad.

Katanya, biarpun sekadar menang 1-0, namun ia sudah cukup untuk menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan buat skuad The Blues itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak kebelakangan ini.

“Sudah tentu ia sesuatu yang baik untuk menang kerana sejak kebelakangan ini momentum kami agak kurang memuaskan dan ia memerlukan sesuatu seperti kemenangan ini.

“Namun, ia bukan sesuatu yang mudah apabila bermain dengan pasukan yang beraksi dengan hanya 10 pemain.

“Bagaimanapun, Fulham telah menjadikan perlawanan ini sukar buat kami walaupun kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Fulham terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Antonee Robinson diperintahkan keluar padang pada penghujung separuh masa pertama.

Justeru, Chelsea dilihat memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan dan menyaksikan Mason Mount menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-78; sekali gus melonjakkan skuad The Blues itu pada kedudukan ketujuh EPL dengan 29 mata hasil lapan kemenangan, seri dan tewas lima kali daripada 18 perlawanan setakat ini.

Mengulas mengenai jaringan tunggal Mount, Lampard menegaskan dia berharap agar pemain berusia 22 tahun itu dapat terus meningkatkan prestasinya pada perlawanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Mount juga perlu menjaringkan lebih banyak gol selepas ini, samada bersama Chelsea atau skuad kebangsaan England.

“Saya sentiasa percayakan kualiti yang ada pada pemain saya dan pada perlawanan ini saya dapat rasakan kita dapat menjaringkan gol; hasil kesabaran kita ia berlaku (gol).

“Mengenai Mason (Mount), dia telah menunjukkan kualiti dan juga sikap yang baik di sepanjang perlawanan,” katanya.