Tubuh panel dianggotai pakar perubatan bantu tangani pandemik

Dr Mahathir - Foto fail Bernama
Dr Mahathir - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar ditubuhkan panel dianggotai oleh pakar perubatan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 secara lebih berkesan ketika ini.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, penubuhan panel itu bagi mewakili pendapat orang ramai berkenaan langkah pencegahan sedia ada selain langkah keselamatan susulan yang perlu dilakukan.

“Kalau kita dengar pendapat doktor-doktor ataupun bagi peluang dengan penubuhan satu badan di mana doktor dan pakar perubatan dengan kepakaran masing-masing boleh mewakili orang ramai.

“Mereka boleh mendedahkan masalah dan kita sama-sama fikir cara mana kita nak tangani. Kita perlu ada jalan penyelesaian. Apa yang dilakukan ketika ini adalah terhad.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah seorang doktor yang baik tetapi satu orang punya pendapat tidak cukup. Pada masa ini kita perlu pendapat ramai orang lain yang cukup ilmu yang boleh sumbang kepada usaha kita memerangi Covid-19,” katanya menerusi program AWANI Pagi pada Ahad.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pihak kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada masalah sosial dan ekonomi yang perlu ditangani dengan baik.

“Kerajaan perlu beri tumpuan kepada masalah sosial dan ekonomi kerana ramai rakyat kita yang hilang pekerjaan.

“Semua ini perlu ditangani kerajaan, tetapi saya dapati tidak ada tumpuan kepada masalah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: