Flex beri pekerja peluang tingkat kemahiran amali, insaniah

Pekerja diarahkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka sepanjang masa di samping memastikan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.
Pekerja diarahkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka sepanjang masa di samping memastikan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.
A
A
A

SEJAK membuka fasilitinya di Malaysia pada tahun 1990, Flex yang merupakan salah satu penyedia rangkaian teknologi terbesar di dunia mengambil pekerja dari budaya dan latar belakang berbeza untuk membentuk kepelbagaian perspektif serta idea.

Pengarah Sumber Manusianya, Hasifah Wati Harun berkata, selepas 30 tahun penubuhan syarikat multinasional itu di Malaysia, Flex kini mempunyai 12 fasiliti iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Hasifah Wati Harun
Hasifah Wati Harun

Menurutnya, selain masyarakat berbilang kaum dari Malaysia, Flex juga mengambil pekerja dari luar negara yang mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu dan kritikal selain memberikan peluang kerja pelbagai, inklusif serta sama rata untuk semua golongan termasuk orang kurang upaya (OKU).

"Flex sentiasa memupuk semangat berpasukan melalui projek dalaman yang mengumpulkan pekerja dari jabatan dan fungsi berbeza dengan matlamat sama termasuk aktiviti luar pejabat khusus kepada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti program kebajikan serta pemeliharaan alam sekitar.

"Kami turut menyuntik proses pembelajaran dalam kalangan pekerja melalui aktiviti Kaizen di mana kita sentiasa berfikir untuk memberi inovasi baharu dalam proses dan tata kerja diamalkan yang lebih mudah dan ringkas tetapi memberi impak yang besar," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu katanya, Flex menyediakan peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran amali dan insaniah melalui program dalaman dan jalinan bersama beberapa institusi pengajian tinggi negara serta mendapat pengiktirafan pensijilan sewajarnya.

Katanya, menerusi penambahbaikan ilmu dan kemahiran, pekerja berpeluang untuk mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi atau mencuba skop baharu di jabatan serta fungsi berbeza.

Artikel Berkaitan:

Menerusi penambahbaikan ilmu dan kemahiran, pekerja Flex berpeluang untuk mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi.
Menerusi penambahbaikan ilmu dan kemahiran, pekerja Flex berpeluang untuk mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Peluang ini sentiasa ada kerana syarikat ini menyediakan rangkaian perkhidmatan yang pelbagai kepada pelanggan dan memberi peluang perniagaan yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Hasifah Wati berkata, peningkatan itu memerlukan penambahan tenaga kerja dan pekerja juga diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya di cawangan Flex di luar Malaysia seperti di China serta India.

Mengulas mengenai bantuan serta sokongan yang diberikan kepada pekerja dalam berdepan cabaran Covid-19, beliau berkata, komunikasi adalah tunggak kepada kejayaan sesuatu perubahan.

Katanya, Flex sentiasa memberi maklumat terkini termasuk arahan-arahan tertentu kepada pekerja untuk menghadapi situasi yang mencabar ini.

"Pelbagai bentuk komunikasi telah diwujudkan untuk membantu para pekerja melalui proses norma baharu menerusi email, poster, banner dan TV yang disediakan di kantin kilang," katanya.

Menurutnya, pekerja diarahkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka sepanjang masa di samping memastikan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.

Beliau berkata, pekerja digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan panduan secara berterusan daripada penyelia, pengurus dan pegawai sumber manusia di samping pemantauan berterusan oleh kumpulan sokongan yang diwujudkan oleh pihak pengurusan Flex untuk menyekat penularan wabak dalam kilang.