Pusat Tahanan Reman AADK mula operasi Mac

Arzmi (kanan) menunjukkan keadaan di bahagian dalam sel kepada Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (dua, kiri) di Puspen Besut.
Arzmi (kanan) menunjukkan keadaan di bahagian dalam sel kepada Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (dua, kiri) di Puspen Besut.
A
A
A

BESUT - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu kini mempunyai Pusat Tahanan Reman sendiri yang terletak dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut, di sini.

Pengarah Puspen Besut, Arzmi Abdullah berkata, pusat tahanan yang diubah suai dan dinaik taraf membabitkan kos kira-kira RM80,000 itu dapat menampung 100 orang suspek dalam satu-satu masa.

Menurutnya, tiga daripada lima sel lokap di pusat tahanan itu akan digunakan untuk menahan suspek penagih dadah manakala dua lagi dijadikan sebagai pusat pengasingan untuk pelatih baharu Puspen.

“Setiap sel dapat memuatkan sekitar 30 suspek pada satu-satu masa dan disediakan kemudahan asas seperti lokap lain.

“Pusat ini diuruskan AADK daerah dan digunakan untuk tahanan suspek penagih dari semua lapan daerah di negeri ini,” katanya.

Arzmi berkata, pusat tahanan itu telah diwartakan oleh kerajaan pada 28 Disember tahun lalu dan dijangka beroperasi Mac ini.

Katanya, pusat itu akan menempatkan tahanan yang ditangkap AADK selepas saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.

Menurutnya, ketika ini, pesalah dadah yang ditangkap AADK ditahan sementara di lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi dalam jumlah terhad atau mereka terpaksa dijamin.

Artikel Berkaitan: