Masyarakat sasaran utama

Sinar Rasuah Busters ialah pendekatan terbaik untuk meyakinkan masyarakat untuk serta dan memberikan kerjasama dalam usaha menghapuskan gejala rasuah di negara ini. Gambar kecil: Mohd Shukri dan Mustafar
Sinar Rasuah Busters ialah pendekatan terbaik untuk meyakinkan masyarakat untuk serta dan memberikan kerjasama dalam usaha menghapuskan gejala rasuah di negara ini. Gambar kecil: Mohd Shukri dan Mustafar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Usaha memerangi rasuah perlu membabitkan kerjasama semua pihak kerana ia tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana individu atau organisasi secara solo atau sendiri.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, inisiatif Sinar Harian menubuhkan Sinar Rasuah Busters ialah satu pendekatan terbaik untuk meyakinkan masyarakat untuk serta dan bekerjasama menghapuskan gejala rasuah di negara ini.

Menurutnya, inisiatif baharu itu berperanan besar membawa wadah kesedaran sosial terhadap perkara yang berkisarkan kepada isu kepentingan, kebajikan serta keadilan masyarakat secara keseluruhannya.

“Memang kita menyokong penuh usaha dilakukan pelbagai pihak terutama media seperti Sinar Harian dalam menguar-uarkan gejala buruk dan keji rasuah yang berlaku di Malaysia.

“Masyarakat akan merasa yakin bahawa pelbagai usaha dibuat bagi menghapuskan perbuatan keji itu.

“Apabila keyakinan berlaku, tentu sokongan dapat diperoleh daripada semua pihak, sekali gus usaha membendung gejala rasuah dapat dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai inisiatif akhbar ini yang menubuhkan Sinar Rasuah Busters bagi membantu SPRM membendung gejala rasuah di Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada Jumaat mahukan satu gerakan massa dilakukan bagi membanteras rasuah dan penyelewengan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin yang juga Penerbit Sinar Harian berkata, Sinar Rasuah Busters dilihat lebih memfokuskan kepada usaha pencegahan.

“Usaha pencegahan itu perlu dirancang dan dilaksana secara holistik serta berterusan selain mendidik orang ramai tentang buruk dan kejinya rasuah serta akibat kepada masyarakat, negara dan dunia.

“Dalam masa sama, usaha menyatakan ‘tidak pada rasuah’ mesti dipanjangkan, malah masyarakat perlu berani dengan melaporkan segala aktiviti berkaitan rasuah tanpa mengira siapa, pangkat dan darjat,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa amat serius dan komited melaksanakan tanggungjawab mereka, selain memerlukan kerjasama masyarakat agar perbuatan keji itu dibanteras sehingga ke akar umbi.

Sementara itu, seorang lagi bekas Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, semua pihak terutama media perlu berganding bahu memutuskan rantaian rasuah secara menyeluruh.

Katanya, pendekatan yang diguna pakai sedikit sebanyak menyedarkan orang ramai tentang implikasi rasuah terhadap negara.

“Apa sahaja usaha (perangi rasuah) saya sokong dan Sinar Harian sudah mulakan langkah baik itu. Ia harus dipuji, malah media lain perlu bersama-sama memainkan peranan membantu pihak berkuasa kerana dalam membantu pihak berkuasa memerangi rasuah.

“Masyarakat hari ini masih terkongkong dan taksub dengan parti serta menyokong individu yang sudah terpalit dengan kes rasuah. Kalau individu itu masih disimpan, negara akan rosak sebab pilih orang yang tidak amanah.

“Media kena cuci pemikiran masyarakat mengenai perbuatan keji itu. Laporan rasuah perlu dipaparkan setiap hari, tidak kira ia melibatkan ahli politik, orang jabatan atau sebagainya.

“Jika orang ramai menjadi mata dan telinga SPRM, saya percaya wabak rasuah dapat dibanteras, sekali gus usaha pemulihan moral bangsa dipulihkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Gerakan memulihkan moral bangsa