X

Kindly register in order to view this article
!

Sasterawan tulen, sasterawan tular

Fenomena buku digital telah mengubah cara sasterawan berkarya.
A
A
PERKEMBANGAN teknologi yang berlaku sejak beberapa dekad lalu telah banyak mengubah keadaan persekitaran industri penerbitan buku.

Daripada format kandungan, sehinggalah kepada proses penghasilan buku, yang melibatkan penyuntingan, perekaan, percetakan dan pengedaran, hampir kesemuanya telah berubah ke arah berkomputer dan digital.

Kewujudan e-buku sebagai contoh, telah menyebabkan proses pembacaan, pembelian dan penyimpanan buku menjadi lebih mudah. Kesannya, di beberapa buah negara maju, pembacaan melalui e-buku semakin berkembang dan kewujudan peranti-peranti elektronik seperti telefon pintar dan peranti yang khusus untuk pembacaan juga didapati banyak mempengaruhi keinginan seseorang itu untuk membaca.

Dari segi proses penghasilan buku pula, perkembangan teknologi digital dilihat telah mengubah keadaan operasi dan pengurusan kandungan, termasuk aktiviti yang berkaitan dengan penjualan dan pemasaran buku.

Pengurusan, pentadbiran, stok dan kandungan dalam sesebuah syarikat penerbitan banyak bergantung kepada teknologi komputer dan digital. Ini menjadikan pengurusannya lebih sistematik, cekap dan efisien. Penjualan dan pemasaran buku menerusi dalam talian juga turut berkembang pesat dengan wujudnya internet dan media sosial.

Perubahan yang berlaku kesan daripada perkembangan teknologi ini dilihat membawa cabaran-cabaran baharu (Greco, Milliot, & Wharton, 2014; Hetherington, 2014; Thompson, 2005, 2012). Penurunan yang agak signifikan dalam penjualan buku secara ‘brick-and-mortar’ kesan daripada munculnya kedai-kedai buku dalam talian seperti Amazon dan Barnes & Noble; peningkatan permintaan terhadap format kandungan berbentuk digital sebagai alternatif kepada kandungan yang berbentuk cetak dan juga kewujudan percetakan digital yang membolehkan buku dicetak dalam kuantiti yang sedikit mengikut kehendak pelanggan, telah menjadikan keadaan pasaran buku lebih kompetitif.

Perubahan-perubahan ini dilihat mengubah keadaan persekitaran strategik industri penerbitan buku secara keseluruhannya. Wilayah kekuasaan sastera jika sebelum ini agak sinonim dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang menguasai industri dan diakrabi ramai penulis yang mengimpikan penerbitan dengan rumah penerbitan ini.

Sehingga kini, DBP masih lagi merupakan ‘Don’ perbukuan terbesar dalam harkat penulisan sastera perdana. Namun bagaimana pula dengan kelompok sastera popular dan indie?

Adakah mereka memilih DBP sebagai rumah penerbitan pilihan? Apatah lagi khalayak sedia maklum bahawa untuk menembusi penerbitan di DBP juga bukannya mudah. DBP sebagai sebuah badan pemartabat bahasa Melayu tinggi mempunyai standard tersendiri yang perlu dicapai penulis sebelum berjaya meletakkan diri dalam kelompok penulis yang mampu menembusi penerbitan karya di rumah penerbitan elit dan ‘maha gah’ ini.

Perkembangan internet dengan wujudnya ‘World Wide Web’ dan sebagainya, banyak mengubah keadaan persekitaran strategik industri penerbitan buku.

Menurut Lieber and Syverson (2012), apabila Amazon memulakan perniagaan penjualan buku menerusi dalam talian, keadaan tersebut memberikan competitive advantages kepada mereka berbanding penjualan buku secara konvensional.

Menurut beliau, menjual secara dalam talian memberikan kelebihan kepada mereka untuk menawarkan tajuk yang pelbagai kepada pelanggan tanpa perlu bimbang tentang stok dan juga memudahkan pelanggan mencari dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan buku-buku yang mereka minati.

Dalam dekad dunia di hujung jari ini pula, penulis mempunyai alternatif dan pilihan yang lebih besar melalui penawaran rumah-rumah penerbitan sama ada melalui syarikat penerbitan mahupun persatuan-persatuan berasaskan kesusasteraan yang menawarkan projek-projek penulisan melalui kaedah swaterbit.

Jika mereka mempunyai kemampuan kewangan tersendiri juga, buku-buku solo boleh diterbitkan secara lebih mudah dan pantas. Bagi meningkatkan mutu dari aspek suntingan bahasa dan sebagainya, mereka boleh menggunakan khidmat penyunting atau ‘ghost writer’ yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Wilayah kekuasaan sastera telah pun berubah, mahu atau tidak kesemua pemain industri telah mula menerima gaya sohor kini ini sebagai trend baharu dalam industri penerbitan.

Penulis-penulis baharu yang tahu dan aktif menggunakan pelantar-pelantar media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tik Tok dan YouTube akan lebih mudah mencipta jenama dirinya dalam kelompok penulisan berbanding penulis-penulis yang buta digital atau anti digital.

Bilangan sukaan terhadap setiap hantaran di media sosial secara tidak langsung juga akan mempengaruhi sebesar mana wilayah kekuasaan sastera yang dimiliki oleh seseorang penulis.

Fenomena ini dari satu sisi mencerminkan konotasi yang agak positif iaitu kelangsungan sastera masih lagi berlaku secara aktif dan terus wujud waima negara dan dunia sedang dilanda kemalapan jelaga politik, ekonomi, dan sosial.

Situasi ini membuktikan bahawa sastera merupakan satu kuasa yang tidak mampu dimatikan. Sastera terus hidup dan diperlukan dalam masyarakat tidak kiralah bagaimana teruk atau segarnya keadaan sesebuah negara.

Namun, menakutkan apabila fenomena bilangan sukaan kepada setiap hantaran di media sosial menjadi satu ukuran untuk menentukan lingkungan dan lingkaran wilayah kekuasaan sastera kepada seseorang penulis.

Situasi ini memungkinkan wujudnya sindrom megalomania dalam kalangan penulis yang mula berasakan dirinya sudah terkenal dan karya-karyanya bermutu tinggi lantaran mendapat bilangan sukaan dan pengikut yang tinggi dalam setiap hantarannya di media sosial.

Megalomania menjadikan penulis, khususnya kelompok penulis pemula tidak boleh disentuh dan diusik karya-karyanya. Malahan kelompok ini beranggapan bahawa karya mereka sudah agak bermutu dan tidak berhak disunting editor.

Gejala sebegini jika berlarutan akan membunuh identiti kepengarangan dalam diri seseorang penulis. Kepengarangan sebenar diharapkan membina karakter insaniah sasterawan tulen dan bukannya sasterawan tular.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!