X

Kindly register in order to view this article
!

Tun Salleh Abas yang kita hormati

Perginya Tun Dr Mohamed Salleh Abas ke rahmatullah merupakan satu lagi kehilangan permata negara daripada penglihatan kita.
A
A

PERGINYA Tun Dr Mohamed Salleh Abas ke rahmatullah pada pagi Sabtu, 16 Januari 2021 (bersamaan 3 Jamadil Akhir 1442) merupakan satu lagi kehilangan permata negara daripada penglihatan kita.

Begitu pun, kerana jasa yang besar kepada agama, bangsa dan negara, beliau akan tetap hidup dalam ingatan buat selama-lamanya. Marilah kita ucapkan selamat pergi ke alam barzakh kepadanya buat sementara menunggu untuk bersama menuju ke alam baqa’ yang abadi di akhirat nanti.

Menyingkap cerita perjuangannya, kita segera dapat membuat kesimpulan bahawa beliau seorang yang teguh pendiriannya dalam mempertahankan sesuatu yang di rasakan benar.

Beliau sanggup menerima apa saja risiko tanpa mempedulikan saiznya besar atau kecil, kekal atau sementara. Selain itu, beliau sangat mengambil kira kekemasan kerja dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Sama ada rumit atau gampang kerja yang perlu dilakukan, bagi beliau bukan suatu perhitungan yang boleh mengubah atau melonggarkan prinsip kekemasan kerja yang beliau budayakan.

Dalam banyak sidang Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan yang saya hadir bersamanya, beliau selalu merungut tentang kurangnya kekemasan catatan mahkamah bawahan yang diangkat ke mahkamah berkenaan.

Sesudah merasa cuak dengan sikap pegawai mahkamah berkenaan yang tidak mengambil tindakan serius terhadap tegurannya itu, beliau dalam satu kes berkata: “Sila panggil semua hakim mahkamah syariah di negeri ini saya mahu ajar mereka bagaimana cara menulis laporan persidangan dengan cara yang betul.”

Kadangkala beliau menegur para peguam yang melaksanakan acara guaman mereka secara tidak kemas dalam mahkamah. Meskipun bahasa yang digunakan olehnya tidak kesat namun ketegasan cara beliau membuat teguran cukup menyengat. Bagaimana pun tegurannya itu sentiasa dihormati oleh para peguam berkenaan.

Mungkin kerana mereka faham bahawa tegurannya itu sangat ikhlas dan tiada tujuan lain kecuali mahukan perbicaraan kes berkenaan berjalan dengan teratur dan bermutu tinggi.

Sikap yang sama dapat saya perhatikan selama saya bersama beliau dalam al-Salihin Trustee. Syarikat yang menggunakan nama beliau itu merupakan antara syarikat amanah harta patuh syariah yang terawal ditubuhkan di negara ini.

Sebagai pengerusi, beliau sangat teliti dan halus mengajak para ahli penasihat syariah yang saya anggotai itu berbincang dan memutuskan sesuatu persoalan yang timbul.

Dalam banyak keadaan, beliau mengambil metod sebagai pengerusi yang aktif, tidak seperti sebahagian daripada para pengerusi yang suka memilih metod pasif. Hasilnya keputusan yang diambil oleh mesyuarat bersifat kemas dan jelas.

Namun dalam mempraktik budaya kemas, beliau tetap sentiasa mementingkan kesaksamaan dalam membuat keputusan. Dalam satu kes harta sepencarian, beliau mencadangkan supaya isteri diberi dua pertiga daripada harta tersebut. Kerana dalam kes tersebut, isteri yang pergi ke laut sementara suami membuat kerja rumah dan urusan penjualan ikan di darat.

Dalam menolak keputusan mahkamah bawahan yang memperuntukkan separuh harta tersebut untuk suami dan separuh lagi untuk isteri, beliau menegaskan, “Masalah keadilan dan kesaksamaan tidak boleh mengambil kira suami atau isteri. Apa yang penting setiap orang perlu mendapat haknya dengan secara saksama berasaskan sumbangan masing-masing dalam menghasilkan harta berkenaan.”

Dalam satu kes ajaran salah di mana mahkamah lebih bawah memutuskan dua pesalah suami isteri dikenakan hukuman penjara, beliau agak terkilan dengan hukuman tersebut.

Bagi beliau, hakim bicara tidak cukup cermat dalam membuat keputusan. Ini kerana hukuman penjara melibatkan kehilangan pencen mereka berdua.

“Keluar penjara nanti mereka nak makan apa?” tanya beliau. Beliau mencadangkan supaya hukuman penjara itu dibatalkan dan digantikan dengan hukuman pembatasan pergerakan, di mana pesalah perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan pada setiap hari.

Dalam kes di mana seorang wakil rakyat berpoligami tanpa mendapat kebenaran untuk bernikah dengan isteri kedua di luar negara, beliau mencadangkan keputusan hakim bicara dibatalkan dan digantikan dengan hukuman yang lebih ringan.

Sebabnya, hukum asal yang dikenakan boleh menyebabkan hilang kelayakan sebagai ahli Dewan dan menyebabkan perlu diadakan pilihan raya kecil.

Kata beliau, “Takkanlah kerana kesalahan berbini dua tanpa kebenaran mahkamah sampai kena buat pilihan raya kecil?”

Apa pun, beliau adalah seorang yang bersahaja dan tidak meninggi diri. Dalam satu peristiwa, beliau tersilap haribulan yang ditentukan untuk mendengar satu kes. Apabila saya sampai di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa Kota Bharu pada pagi itu, pihak yang menjemput kami bertanya saya tentang beliau.

“Mana Tun?” tanya pegawai pengiring. Apabila ternyata beliau tidak ada dalam pesawat dari Kuala Lumpur itu, jelas sekali beliau tidak akan berada di mahkamah pada pagi itu.

Saya berpendapat elok kes itu dibatalkan saja. Semasa dalam perjalanan ke mahkamah, pegawai pengiring menghubungi beliau. Pada waktu itu, beliau berada bersama kawan-kawan sedang minum di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumahnya di Kuala Lumpur.

Rupa-rupanya selepas solat subuh ada kuliah subuh. Selepas kuliah subuh, seperti biasa beliau dan kawan-kawan berkuliah sama sendiri pula di kedai makan berdekatan. Beliau meminta maaf dan mencadangkan agar mahkamah ditangguhkan selama beberapa jam sehingga beliau sampai.

Dengan berkain pelikat, berbaju kurung dan berserban, beliau terus ke lapangan terbang tanpa terlebih dahulu pulang ke rumah bersalin pakaian.

Kami pulang menaiki pesawat yang sama dan duduk berdekatan. Dalam pesawat, beliau minta tukar tempat duduk dengan saya. Katanya, dia lebih suka duduk di tepi tingkap. Bila pramugari datang bertanyakan tentang makan dan minum, dia memanggil saya ‘Tun’ mengikut nama kerusi. Pada masa itu saya lebih kurang 20 tahun lebih muda daripada sekarang.

Dalam hati saya mana ada orang berumur 50-an bergelar ‘Tun’. Saya beritahu pramugari itu, saya bukan ‘Tun’, tapi yang di sebelah saya itu. Tun Salleh buat tak dengar pemberitahuan saya itu. Buat bodoh, kata orang. Malah pramugari itu pun buat-buat tak dengar juga.

Sebaliknya dia panggil ‘Pakcik’ kepada Tun. Tun dengan selamba menyambut mesra panggilan itu. Oleh kerana kami tidak minta apa-apa, hubungan kami dengan pramugari berkenaan habis di situ sahaja.

Mari kita doakan agar ALLAH SWT merahmati roh beliau dan meletakkan dalam kalangan Anbia dan Aulia al-Salihin. Amin.

* Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid ialah Profesor Emeritus di Universiti Malaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!