X

Kindly register in order to view this article
!

Undang-undang Islam terpelihara

A
A

TANPA disangka, Perdana Menteri telah pun mengumumkan darurat. Ia merupakan kali kedua keseluruhan Malaysia diisytihar darurat selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Ruangan kali ini mengupas kedudukan Raja-Raja Melayu, undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat.

Ia jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Secara tersirat, ia bermakna Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Ia menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan perlembagaan walaupun perlembagaan itu sendiri tergantung.

Tidak keterlaluan dikatakan, undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaan. Jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Sebenarnya keistimewaan itu bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk Malaysia, namun kedudukan tinggi itu tidaklah bermakna orang bukan Islam didiskriminasi atau dinafikan hak mereka.

Malah, keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 64 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Kedaulatan undang-undang Islam amat jelas kerana sekalipun negara berada dalam keadaan darurat, ia tidak akan langsung terjejas malah akan tetap dilaksanakan berbeza daripada undang-undang lain yang akan tergantung.

Itu bermakna, undang-undang syariah dan mahkamah syariah masih boleh dilaksanakan dan orang Islam masih boleh mengamalkan undang-undang Islam walaupun negara dalam keadaan darurat dan undang-undang lain digantung.

Ketika darurat, Yang di-pertuan Agong boleh membuat ordinan bagi mengukuhkan keabsahan dan ketinggian undang-undang Islam. Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat atau destinasi akhir kita tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat dan kerajaan memakmurkan negara.

Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara pelbagai pihak di Malaysia. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian. Walau apa pun perjuangan yang ingin dibawa mana-mana pemimpin, ia hendaklah memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa kebangsaan dan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri tidak terhakis.

Tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan antara rakyat Malaysia tetapi perbezaan itu hendaklah dilihat dari aspek positif iaitu ia menjadi kekuatan kepada pembinaan negara ulung Malaysia dan bukan kelemahan negara. Dalam setiap keputusan seorang pemimpin, kayu pengukur yang hendak digunakan ialah Islam. Dengan piawaian Islam, sudah pasti kemakmuran negara dan kedaulatan Islam akan berjalan seiring.

Norma lazim masyarakat merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain mestilah dipertahankan. Ia tidak boleh diubah walaupun dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana ia telah disepakati sekian lama.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!