Darurat untuk lawan Covid-19

A
A
A

SEBELUM dan selepas pengisytiharan darurat seluruh negara dibuat pada 12 Januari lalu, alasan sering diberikan adalah untuk menangani kenaikan mendadak kes Covid-19.

Kes jangkitan naik mendadak bermula daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berikutan percubaan rampasan kuasa oleh UMNO. Ketika itu, Sabah telah mengalami kadar jangkitan yang tinggi akibat keluar masuk pendatang asing Filipina.

Penularan di Semenanjung yang terkawal ketika itu naik semula apabila ahli-ahli politik Semenanjung pergi berkempen dan penduduk Sabah yang tinggal di Semenanjung membawa balik Covid-19. Kadar jangkitan turut meningkat akibat saringan lebih meluas dan rapi serta jangkitan berkelompok.

Jadi, jelaslah jika ada sebarang alasan yang menghalalkan pengisytiharan darurat di seluruh Malaysia, ia adalah ledakan semula jangkitan Covid-19.

Pusat Rujukan Kesusasteraan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan darurat sebagai 'keadaan susah yang datang dengan tidak disangka-sangka atau keadaan yang menyusahkan’.

Dalam konteks darurat sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, keadaan susah yang datang dengan tidak disangka-sangka itu adalah penularan semula Covid-19. Tidak ada alasan lain yang tersurat yang memberi justifikasi bagi melaksanakan perintah tersebut.

Tidak wujud unsur ancaman terhadap keselamatan negara dan rakyat jelata.

Justeru, darurat nasional yang dipromosikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang adalah satu-satunya darurat kebangsaan yang tidak berlandaskan keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Sejak merdeka, kita ada tiga darurat kebangsaan iaitu darurat 1948-1960, darurat 1962 dan darurat 1969. Ketiga-tiganya mempunyai justifikasi keselamatan yang kukuh dan jelas.

Darurat 1948-1960 adalah kerana pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), darurat 1962 kerana Konfrontasi Indonesia dan darurat 1969 kerana pergaduhan kaum 13 Mei. Darurat lain terhad kepada negeri tertentu sahaja seperti Sarawak pada tahun 1966 dan Kelantan pada tahun 1977.

Kedua-duanya berpunca daripada krisis politik. Darurat kali ini tidak ada sebarang unsur ancaman ke atas keselamatan negara yang dicetuskan oleh manusia. Sebaliknya, negara berada dalam keadaan aman damai walaupun dilanda wabak penyakit dan kesulitan ekonomi. Yang menjadi ancaman bukan manusia tetapi virus.

Kalau pun ada ancaman, ia bukanlah ancaman berbentuk keganasan. Nyawa dan harta benda tidak terancam. Sebarang ancaman, jika ada adalah dalam bentuk politik. Itu pun bukanlah dalam bentuk tunjuk perasaan besar-besaran seperti berlaku di Bangkok sepanjang tahun lalu bagi menuntut reformasi institusi raja atau di Jakarta bagi membantah undang-undang buruh.

Ancaman politik terhadap kerajaan PN berlaku di belakang tabir, di media massa dan Istana Negara. Itu pun kerana percubaan membawanya ke Parlimen menghadapi pelbagai halangan. Jadi, tidak ada unsur ancaman terhadap keselamatan negara dan rakyat yang jelas. Yang ada hanyalah cabaran aman terhadap kerajaan PN.

Kesimpulannya, darurat sekarang bukanlah darurat keselamatan dalam fahaman kontemporari tetapi darurat kesihatan yang dicetuskan oleh penularan semula Covid-19.

Satu-satunya penanda aras kepada keberkesanan dan kebergunaan darurat sekarang adalah pengawalan serta penghapusan Covid-19 yang dalam pandangan banyak orang telah ditangani dengan mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan mulai 13 Januari.

Darurat tidak menyelesaikan kemelut politik. Ia sekadar menangguhkannya, kecuali dalam tempoh itu terbentuk sebuah kerajaan perpaduan nasional yang tulen dan telus untuk memerintah sehingga pilihan raya umum baharu dapat diadakan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara