Agenda politik atau rakyat?

A
A
A

PROKLAMASI darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 13 Januari lalu sehingga 1 Ogos depan merupakan jalan paling baik bagi membantu negara menjalani pemulihan kesihatan dan ekonomi.

Realiti hari ini adalah negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan politik yang serius yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Dari segi kesihatan, situasi pandemik dalam negara agak kritikal dan boleh menjadi lebih buruk. Dari segi politik, terdapat usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia telah sampai kemuncak apabila segelintir ahli Parlimen UMNO memutuskan untuk menarik sokongan kepada kerajaan.

Penarikan sokongan UMNO atau sebahagian ahli Parlimen UMNO itu sekali gus menuntut pemilihan Perdana Menteri baharu atau Pilihan Raya Umum (PRU) baharu.

Kedua-dua krisis itu menjadikan negara berada dalam keadaan tidak stabil. Kerajaan yang tidak stabil tidak mungkin dapat menjalankan tugas dengan berkesan untuk menangani pandemik, apatah lagi memulihkan ekonomi.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat adalah strategi serampang dua mata bagi memulihkan Malaysia.

Dari sudut krisis kesihatan, pengisytiharan darurat membolehkan usaha mencegah penularan dan perawatan pesakit Covid-19 dilakukan secara lebih drastik dan tegas melalui ordinan-ordinan yang bakal diumumkan.

Ordinan itu akan mempunyai kuasa lebih besar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP di bawah kuasa Menteri Kesihatan mempunyai sumber kuasa terhad dan berhadapan pelbagai halangan perundangan terutama dari segi menyegerakan tindakan penguatkuasaan dan bantuan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan situasi semasa, Malaysia dijangka mempunyai kira-kira 5,000 pesakit Covid-19 setiap hari mulai Februari. Jika itu berlaku, fasiliti kesihatan awam tidak lagi mampu menampung pesakit.

Salah satu sebab terpenting perintah darurat adalah bagi membolehkan kerajaan mengambil alih fasiliti kesihatan swasta sebagai pelan sokongan bagi merawat pesakit Covid-19.

Jika sebelum ini kerajaan tidak boleh ambil alih fasiliti hospital swasta tanpa persetujuan, melalui ordinan darurat, kerajaan boleh mengambil alih dengan pampasan tertentu sepanjang ia diperlukan.

Darurat juga membolehkan proses penguatkuasaan PKP dapat diperketatkan. Anggota polis sahaja tidak cukup untuk mengawal dan menguatkuasa larangan pergerakan. Sebahagian mereka masih perlu menjalankan tugas siasatan kes jenayah lain. Salah satu pilihan adalah meminta bantuan anggota tentera membantu polis mengawal dan menguatkuasa undang-undang terutama dalam kawalan pergerakan.

Tanpa proklamasi darurat, anggota tentera tidak boleh melakukan tangkapan ke atas orang awam dan mendakwa mereka di mahkamah awam. Darurat membenarkan anggota tentera menyertai pasukan keselamatan dalam negeri.

Tidak dinafikan, selain agenda kesihatan, proklamasi darurat juga mempunyai agenda politik. Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi membolehkan fokus tertumpu kepada pengawalan penularan pandemik, bukannya berebut takhta kuasa.

Sebelum darurat diisytiharkan, Perdana Menteri berhadapan kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen. Sekiranya itu berlaku, satu PRU perlu diadakan.

PRU ketika penularan Covid-19 sedang memuncak bukanlah satu pilihan, apatah lagi penggal Parlimen belum pun mencecah tiga tahun.

Pilihan lain adalah melantik Perdana Menteri baharu, namun ia juga mengambil masa kerana politik Malaysia telah begitu berpecah-belah sehingga tiada pihak mampu mempunyai majoriti yang agak signifikan.

Justeru, pilihan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat sangat tepat. Melalui cara itu, Seri Paduka Baginda dapat memastikan usaha mengawal penularan Covid-19 dapat diperkasakan dan sistem politik negara dapat distabilkan buat sementara waktu.

Seperti mana janji Perdana Menteri untuk mengadakan PRU selepas tamat darurat, semua pihak perlulah bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha melawan pandemik Covid-19 dan ‘mengisi perut’ rakyat terlebih dahulu.

Sabarlah wahai semua ahli politik!

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)