X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pegawai ISN positif Covid-19

Ahmad Faedzal (kanan). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang terlibat dengan kem latihan berpusat secara kuarantin didapati positif Covid-19 ketika ujian dijalankan pada 12 Januari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, kesemua individu itu diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihaknya telah mengambil tindakan susulan sewajarnya.

“Senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti untuk mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini diletakkan di bawah ‘Home Surveillance Order (HSO)’. Kita juga telah menjalankan kerja-kerja pembersihan serta sanitasi di ibu pejabat ISN di Bukit Jalil.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap bidang perubatan, sains dan inovasi sukan, pihak ISN amat menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, 47 pegawai ISN terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan telah memulakan perkhidmatan serta memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) di lima lokasi kem latihan berpusat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) ini.

Lima venue tersebut ialah Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar, Langkawi.

“Skop tanggungjawab utama pasukan ISN semasa kem latihan berpusat ini turut meliputi pemantauan tahap kesihatan, khidmat rawatan awal, rujukan klinikal perubatan serta pematuhan terhadap amalan penjagaan kesihatan diri terutama dalam pengurusan ‘counter measures Covid-19’.

“Dalam aspek prestasi pula, pasukan sains sukan ISN berperanan dalam memberi khidmat kepakaran sains sukan terutama dalam aspek pemakanan sukan, suaian fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan biomekanik,” katanya.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet dan enam pegawai positif Covid-19 setelah kembali ke kem latihan selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu pada 3 Januari lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!